19 Disember 2024, Putrajaya – YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), pada 19 Disember 2024 telah mempengerusikan satu mesyuarat bersama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang diketuai oleh Encik Mohammad Ashraf bin Md Radzi, Ketua Eksekutif, LTAT bagi membincangkan aspirasi dan inisiatif strategik LTAT dalam pembangunan industri biofarmaseutikal tempatan.
Mesyuarat ini yang turut disertai oleh Pejabat Pengurusan Projek Pembangunan Vaksin Malaysia (MVPO) dan Bahagian Teknologi Strategik dan Aplikasi S&T (TSA), MOSTI bertujuan mengukuhkan lagi kerjasama antara MOSTI dan LTAT, sekaligus mempercepatkan pertumbuhan industri biofarmaseutikal negara.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada rancangan strategik Pharmaniaga, anak syarikat LTAT, dalam pengeluaran vaksin dan insulin. Usaha ini sejajar dengan matlamat Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) dan Dasar Bioteknologi Negara (DBN) 2.0, yang menekankan pemindahan teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta kerjasama strategik untuk meningkatkan keupayaan, kapasiti, dan tenaga kerja tempatan. Inisiatif ini juga menyokong objektif MOSTI dalam membangunkan ekosistem sains, teknologi, dan inovasi negara, ke arah mewujudkan industri biofarmaseutikal yang kompetitif serta berdaya saing di peringkat global.
Selain itu, YBrs. Dr Sharmila binti Mohamed Salleh, Ketua Pengarah Eksekutif, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) juga turut menyampaikan satu penerangan mengenai inisiatif-inisiatif inovasi sosial yang berpotensi memberi manfaat kepada anggota LTAT serta mampu menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi dan sosial komuniti.