26 April 2024, China – Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Malaysia, YB Tuan Chang Lih Kang, bersama-sama dengan delegasi yang terdiri daripada pegawai-pegawai MOSTI dan agensinya telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Ketiga Malaysia-China dalam Kerjasama STI (3rd JCM) yang telah diadakan di Beijing, Republik Rakyat China (RPC) pada 26 April 2024. Beliau telah mempengerusikan mesyuarat secara bersama dengan TYT Yin Hejun, Menteri Sains dan Teknologi (MOST), China.
Penganjuran JCM Ketiga ini yang berdasarkan pada kerangka Perjanjian Kerjasama Sains, Teknologi, dan Inovasi yang ditandatangani antara Malaysia dan China pada 4 Oktober 2013, menjadi satu penanda penting dalam hubungan dua hala bertepatan dengan sambutan Ulang Tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.
Perbincangan yang diketengahkan ketika JCM berkenaan merangkumi pelbagai bidang kerjasama termasuk teknologi mikroelektronik, teknologi bahan termaju, pemindahan teknologi dan keusahawanan, pertukaran tenaga pakar (people-to-people exchange) dan kerjasama di bawah kerangka mekanisme multilateral.
Kedua-dua negara turut memberi komitmen kepada kerjasama dalam memajukan penyelidikan menerusi Projek Penyelidikan Bersama China-Malaysia, dengan tumpuan kepada bidang-bidang utama seperti teknologi penyimpanan tenaga, vaksin manusia, teknologi angkasa, kecerdasan buatan, blockchain, dan teknologi bahan termaju.