Skip to main content
Berita

Mesyuarat Majlis Pelaksanaan BIOTEKNOLOGI 2012

By 2012-10-30Mac 10th, 2017No Comments

 

Putrajaya, 30 Oktober 2012 – Program Transformasi Bioekonomi (BTP) telah dilancarkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia semasa Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Bioteknologi (ICM) yang dipengerusikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Bersempena dengan pelancaran BTP ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp) mengumumkan 10 Entry Points Projects (EPPs) yang bertujuan untuk meningkatkan sektor bioteknologi negara meliputi tiga bidang utama iaitu Pertanian, Penjagaan Kesihatan dan Perindustrian.

10 EPPs yang diumumkan adalah merangkumi Input Industri Bioteknologi, bahan bio-kimia daripada sumber yang boleh diperbaharui, bio-bahan api daripada sumber yang boleh diperbaharui, hasil ladang tempatan yang berasaskan bio, bahan bio tempatan yang bernilai tinggi, kepelbagaian sumber makanan tempatan bernilai tinggi, biosimilars, khidmat pra-klinikal dan penemuan ubatan, saringan molekul dan khidmat diagnostic serta sel tunjang dan perubatan regenerative di Malaysia.

Dengan 20 triggers projects yang dikenal pasti di bawah 10 EPPs tersebut, BTP secara kolektifnya bertujuan untuk meningkatkan Pendapatan Negara Kasar sebanyak RM 3.6 Bilion menjelang tahun 2020 dengan pelaburan mewujudkan sebanyak 16,300 peluang pekerjaan baru berkualiti tinggi untuk rakyat Malaysia.

“Untuk memastikan kejayaan dalam sektor ini, kita perlu menekankan dan menggalakkan pembangunan penyelidikan di peringkat antarabangsa yang akan menyokong pembangunan industri bioteknologi seperti mana yang telah digariskan di bawah Teras Keempat, Dasar Bioteknologi Negara. Kewujudan ekosistem bioteknologi di peringkat antarabangsa merupakan satu petunjuk bagi tahap kematangan sesuatu industri berteknologi tinggi dan sebuah negara termaju.” Tambah Dato’ Sri Najib.

BTP yang disasarkan kepada memupuk interaksi awam dan swasta dalam membangunkan dan meneroka peluang berimpak tinggi dalam bidang bioteknologi, juga dilihat berupaya memanfaatkan dan memberi pendedahan bahawa bioteknologi merupakan enjin pertumbuhan ekonomi selaras dengan pelan tindakan yang digariskan di dalam Dasar Bioteknologi Negara (DBN). Selain dilihat berupaya menjadi pemangkin inovatif untuk meningkatkan dan mempelbagaikan sumber pendapatan rakyat, BTP juga adalah bertujuan untuk menggalakkan ‘Ekonomi Hijau’ yang lestari melalui penggunaan sumber bio yang boleh diperbaharui serta penurunan footprint/carbon emission.

Dato’ Sri Najib turut mengumumkan tiga projek di bawah BTP yang telah sedia untuk dilaksanakan iaitu, projek penghasilan bahan kimia isobutanol daripada sumber biojisim yang boleh diperbaharui oleh Gevo Incorporated, bagi menghasilkan produk terbitan bio seperti bio-kimia, bio-bahan dan bio-bahan api; Projek pembangunan perladangan, pengekstrakan dan pengkomersilan manggis oleh Furley Bioextracts Sdn Bhd bagi menghasilkan produk-produk berasaskan bio bernilai tinggi; dan Projek penghasilan bio-baja dari sisa industri pertanian melalui loji rawatan bersepadu oleh Inno Integrasi Sdn Bhd yang berupaya meningkatkan hasil pertanian dan kadar pemulihan tanah.

Turut diumumkan adalah penyediaan infrastruktur dan mekanisme kewangan dalam bentuk pinjaman mudah bagi para peserta industri dan juga syarikat-syarikat BioNexus yang terlibat dalam projek-projek BTP. Dana Pengkomersilan Bioteknologi berjumlah RM61.5 juta akan ditawarkan dalam bentuk pinjaman mudah kepada syarikat-syarikat BioNexus yang layak untuk menjalankan aktiviti pengkomersilan bioteknologi selaras dengan pendekatan Fasa II Dasar Bioteknologi Negara: Sains ke Perniagaan.

Sementara itu, selaras dengan strategi Biomass Negara, BiotechCorp dengan kerjasama Malaysian Debt Venture (MDV) juga akan melaksanakan satu projek perintis yang dikenali sebagai ‘MY2GEN’, bagi menawarkan satu skim pinjaman mudah kepada pengilang-pengilang kelapa sawit yang berkelayakan untuk mewujudkan infrastruktur bio bertujuan mengubah biomass dari sisa kelapa sawit kepada bahan mentah (feedstock) generasi kedua bernilai tinggi dengan kerjasama pembekal teknologi terpilih. Fasa pertama MY2GEN melibatkan 20 pengilang kelapa sawit yang akan mengeluarkan 200,000 tan metrik gula cellulosic generasi kedua. Sebanyak RM200 juta telah diperuntukkan di bawah projek perintis ini.

“Melalui kolaborasi sistematik antara pengilang kelapa sawit, pembekal teknologi, para pengeluar bahan kimia ‘downstream’ dan ahli kewangan. MY2GEN dijangka akan mencipta satu nilai baru dan juga peluang pertumbuhan bagi sektor bioteknologi perindustrian dan seterusnya menarik lebih ramai entiti yang memiliki sumber sisa bio yang sesuai untuk turut terlibat dalam industri pengeluaran gula cellulosic generasi kedua”, kata Dato’ Najib.

Dengan Inisiatif dan projek strategik yang telah digariskan untuk meningkatkan keupayaan perniagaan dan pengkomersilan di dalam peralihan negara ke arah pembangunan ekonomi berasaskan bio, industri bioteknologi Malaysia dijangka dapat menyumbang sebanyak 4% kepada KDNK negara.