Skip to main content
Berita

MAJLIS PENUTUP DAN PENYAMPAIAN HADIAH PERTANDINGAN INOVASI PERINGKAT KEBANGSAAN SMT/SMK/KV 2012

By 2012-10-31Mac 10th, 2017No Comments

 

Trolak, 31 Oktober 2012 – Pertandingan Inovasi Peringkat Kebangsaan Sekolah Menengah Teknik, Sekolah Menengah Vokasional dan Kolej Vokasional 2012 anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang merupakan program sempena Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012 telah berlangsung pada 29-31 Oktober 2012 yang menghimpunkan kesemua pemenang peringkat zon yang telah terlebih dahulu diadakan pada 18-26 September 2012.
Majlis penutup pertandingan serta penyampaian hadiah kepada pemenang oleh YB Datuk Haji Fadillah Haji Yusof, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah berlangsung pada hari ini bertempat di Dewan Rajawali, Felda Residence, Trolak, Perak.
Objektif pertandingan adalah untuk memupuk budaya inovasi dalam semua aspek pendidikan di peringkat sekolah serta melahirkan pengetua, guru, murid dan kakitangan yang berdaya saing, berkualiti serta mengamalkan budaya kerja yang kreatif.
“selaras dengan hasrat kerajaan untuk membudayakan dan mengamalkan inovasi di setiap lapisan masyarakat, usaha berterusan perlu diambil untuk menanam, membaja dan menyiram minat dan rasa suka terhadap sains dan inovasi menerusi pembelajaran di sekolah yang mana ia bakal memberi impak yang besar dengan melahirkan pelajar atau tenaga kerja yang mahir, kreatif dan inovatif dan bakal menyumbang kepada kemajuan negara” kata YB Datuk Haji Fadillah.
Pertandingan Inovasi Peringkat Kebangsaan Sekolah Menengah Teknik, Sekolah Menengah Vokasional dan Kolej Vokasional 2012 dibahagikan kepada tiga (3) kategori iaitu Kategori Inovasi Murid (Produk), Kategori Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) – Guru dan Kategori Inovasi Pengurusan (KIK).
Pemenang bagi setiap kategori adalah seperti berikut:-
Kategori Pemenang Projek Inovasi
Kategori Inovasi Murid (Produk) Sekolah Menengah Teknik Tuanku Abdul Rahman Putra, Pulau Pinang Fold Rostrum (FoldRost) – Rostrum mudah alih
Kategori Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) Sekolah Menengah Vokasional Kuantan, Pahang Let’s Twist
Kategori Inovasi Pengurusan (KIK) Sekolah Menengah Vikasional Perd. Johor Bahru Mengatasi masalah fail kompetensi pelajar

Turut hadir semasa majlis tersebut ialah YBrs. Tuan Haji Ahmad Tajudin Bin Jab, Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pelajaran Malaysia, YBhg. Datin Nur Wahidah Wong Binti Abdullah, Setiausaha Bahagian Inovasi & Pengkomersilan, MOSTI, Pengarah-Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Pengetua SMT/SMV, pegawai-pegawai MOSTI serta pelajar-pelajar SMT/SMV.

Skip to content