Skip to main content
Berita

Minggu Sains Negara (MSN) dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Akhir Kebangsaan

20 November 2023, Putrajaya – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menganjurkan dua (2) program perdana sains, teknologi dan inovasi (STI) iaitu Minggu Sains Negara (MSN) dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Akhir Kebangsaan serentak pada 19 dan 20 November 2023 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

MOSTI telah menganjurkan sebanyak tiga belas (13) Karnival MSN di seluruh negara dengan jumlah pengunjung direkodkan seramai hampir 200,000 orang pengunjung. Pada masa sama, pelaksanakan MSN secara dalam talian telah bermula sejak bulan April 2023 dan berakhir pada penghujung bulan Oktober 2023. Secara keseluruhannya penganjuran MSN telah mencatatkan hampir 600,000 penyertaan dari seluruh negara (termasuk secara dalam talian).
Malaysia Techlympics pula telah berjaya menarik 1.8 juta penyertaan daripada seluruh negara sejak dilancarkan pada bulan Mei 2023 yang lalu. Seramai lebih 5,000 orang peserta dari 1,200 pasukan berkumpul bagi merebut sebanyak 48 pingat emas dalam pelbagai kategori pertandingan dengan nilai hadiah terkumpul berjumlah RM351,000.
Turut berlangsung, penyampaian Anugerah Saintis Muda Negara (Sains Hayat) Tahun 2023 dan Anugerah Saintis Muda Negara (Sains Fizikal) Tahun 2023 kepada. Anugerah tersebut merupakan pengiktirafan MOSTI terhadap saintis berusia 35 tahun ke bawah yang menjalankan penyelidikan di Malaysia, berkhidmat dimana-mana institusi penyelidikan awam atau swasta dan telah menerbitkan penyelidikan yang dijalankan di peringkat nasional atau antarabangsa dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) sains dan teknologi.
Dalam ucapan perasmian YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menekankan bahawa pelaksanaan inisiatif ini adalah selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021 – 2030. Pelan ini merupakan salah satu inisiatif MOSTI dalam usaha untuk menggerakkan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembudayaan dan aktiviti kesedaran STI secara besar-besaran.
Hadir sama YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Dr. Haji Mohd Arifin bin Datuk Haji Mohd. Arif, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah dan YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin Bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI.
Dalam majlis yang sama, YB Tuan Chang Lih Kang telah menyempurnakan Pelancaran Rangkaian Kolaboratif Pusat Sains Malaysia (MySains). Penubuhan MySains adalah sebagai platform kerjasama antara institusi -institusi pembelajaran sains bukan formal dan lain – lain organisasi menerusi perkongsian informasi, pengetahuan, kemahiran dan aktiviti sains komunikasi.
Antara peranan lain MySains adalah membimbing, memberi khidmat nasihat dan menyediakan bantuan teknikal kepada organisasi yang berhasrat membangunkan institusi pembelajaran STI bukan formal serta mengadakan kolaborasi dengan syarikat komersial dan pakar untuk pembangunan program-program pembudayaan STI.
MySains terdiri daripada 12 organisasi yang terlibat iaitu MOSTI, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Pusat Sains Negara, Planetarium Negara, Universiti Malaya, Petrosains, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, Tech Dome Pulau Pinang, Young Scientist Network dan National STEM Association.
Skip to content