11 Disember 2024, Kelantan – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini turun padang ke Tumpat, Kelantan bagi menyertai Misi Pasca Banjir Skuad Ihsan MADANI MOSTI. Terlebih dahulu YB Menteri telah di beri taklimat oleh Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Di Pejabat Daerah APM Tumpat sebelum bergerak ke Sekolah Kebangsaan Kampung Bendang Pa’Yong, Tumpat.
Berdasarkan maklumat terkini (11 Disember 2024, jam 3.30 petang), hanya tinggal 1 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih beroperasi di seluruh negeri Kelantan iaitu di Gua Musang melibatkan 41 orang mangsa dari 10 keluarga.
YB Tuan Chang Lih Kang mewakili warga MOSTI merakamkan rasa simpati mendalam kepada semua mangsa banjir di Tumpat khususnya, serta seluruh Negeri Kelantan dan negeri-negeri lain yang terkesan secara langsung akibat musibah banjir ini.
Skuad Ihsan MADANI MOSTI yang terdiri daripada 25 orang sukarelawan dari Putrajaya (wakil-wakil dari Ibu Pejabat MOSTI, Jabatan Kimia Malaysia, Agensi Angkasa Malaysia, Jabatan Atom Malaysia, Agensi Nuklear Malaysia) serta 5 orang sukarelawan dari Jabatan Kimia Negeri Kelantan telah bertolak ke Tumpat Kelantan pada 11.12.2024 bagi membantu melaksanakan aktiviti kesukarelawan tugas-tugas semasa dan pasca banjir terutamanya yang memerlukan kerja-kerja pembersihan kawasan.
MOSTI turut menyerahkan bantuan berupa barangan keperluan asas, kit kebersihan, serta peralatan khusus yang dapat membantu penduduk yang terkesan menjalani kehidupan harian dengan lebih selesa.
Misi Skuad Ihsan MADANI MOSTI 2024 turut di sokong oleh beberapa agensi MOSTI seperti Yayasan Inovasi Malaysia, NanoMalaysia Berhad, Bioeconomy Corporation, Kumpulan Modal Perdana, Akademi Sains Malaysia dan Malaysian Technology Development Corporation.
Turut sama turun padang ialah YBrs. Puan Ruziah Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI dan Encik Zulkfeli bin Mohd Edin, Pengarah Jabatan Kimia Malaysia Negeri Kelantan.