11 Disember 2024, Putrajaya – YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini melancarkan Dana Uji Beli MySTI (DUB) dan Dana Mudahcara MySTI (DMM).
DUB dan DMM di selia oleh agensi di bawah MOSTI iaitu Malaysian Technology Development Corporation (MTDC). Pelancaran ini menandakan komitmen berterusan Kerajaan dalam memperkukuhkan inovasi tempatan dan memastikan produk hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) Malaysia diiktiraf dan dimartabatkan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Menurut YB Dato’ Mohammad Yusof Apdal, “Inisiatif ini bukan sahaja akan memacu pertumbuhan ekonomi negara tetapi juga akan merangsang penciptaan peluang pekerjaan yang bernilai tinggi kepada graduan STEM tempatan dan merupakan satu langkah penting dalam membina ekosistem dan daya tahan ekonomi negara dengan memperkukuhkan industri berasaskan teknologi di negara ini. Sokongan kewangan melalui DUB dan DMM adalah langkah strategik ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara pengeluar teknologi menjelang tahun 2030.”
DUB dan DMM adalah sebahagian daripada program MySTI, yang mempercepatkan penerimaan produk dan perkhidmatan R&D tempatan di pasaran melalui perolehan Kerajaan. Inisiatif ini menjadikan Kerajaan sebagai pengguna pertama teknologi tempatan, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar dan meningkatkan kedaulatan teknologi negara.
DUB menawarkan pembiayaan sehingga RM100,000 untuk pengujian produk MySTI oleh kementerian dan agensi Kerajaan, yang memberi peluang kepada syarikat tempatan membuktikan produk mereka setanding atau lebih baik ketimbang produk import. DMM pula menyediakan pembiayaan sehingga RM500,000 bagi projek yang telah menerima pesanan pembelian Kerajaan, membantu syarikat meningkatkan skala pengeluaran dan daya saing.
Program Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil R&D Tempatan (MySTI) dalam Perolehan Kerajaan adalah salah satu usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Kewangan. Program ini telah dilancarkan pada Jun 2023 dan sedang dijalankan secara rintis sehingga Mei 2025. Barangan dan perkhidmatan dengan logo MySTI diberikan keutamaan dalam perolehan Kerajaan.