Skip to main content
Berita

MOSTI Aktifkan Pasukan Tindakan Khas Kecemasan Dron (PTK2DRON) Bagi Persediaan Menghadapi Banjir

20 Oktober 2022, Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama agensi pelaksana, Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) telah mengaktifkan Pasukan Tindakan Khas Kecemasan Dron (PTK2Dron) yang melibatkan pihak industri dron terpilih dengan kerjasama agensi-agensi penyelamat dan penguatkuasa berkaitan bencana.

MOSTI bersama syarikat teknologi dron tempatan akan membuat persiapan bagi memberikan bantuan kepada agensi penguat kuasa melalui pelaksanaan peninjauan awal dan penyediaan maklumat untuk agensi penyelamat melakukan operasi bantuan kepada mangsa banjir dengan lebih cekap.

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba di Global Drone Conference (GDC) 2022. “Tahun ini Kementerian dengan kerjasama agensi kerajaan dan industri akan menggandakan usaha untuk meliputi lebih banyak lokasi di seluruh negara. Kerjasama PTK2Dron ini berupaya memastikan usaha bantuan boleh dihulurkan kepada mangsa banjir dengan secepat mungkin,” katanya.

Tambahan beliau, bagi memastikan kelancaran koordinasi dan kerjasama dengan semua pihak, MOSTI melalui MRANTI telah mengadakan perbincangan awal bersama agensi-agensi penyelamat dan penguat kuasa seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Jabatan Ukur Peta Malaysia (JUPEM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta syarikat teknologi yang berkaitan. Ini bagi memastikan persediaan awal dapat diadakan seperti mengenal pasti syarikat dan operator dron agar kelulusan awal dapat diperoleh untuk operasi berkaitan, menambah baik prosedur operasi standard dan melaksanakan simulasi tindak balas kecemasan.

Setakat ini, lebih 20 syarikat dan agensi telah dikenal pasti dengan sumber peralatan seperti dron lebih 200 unit yang bakal dikerahkan ke kawasan-kawasan khas (hotspot) banjir di bawah arahan pihak berkuasa dan agensi utama seperti NADMA dan Bomba.

Orang ramai dan penggiat dron tempatan juga dinasihatkan supaya berwaspada dan tidak menerbangkan dron sekiranya berada di kawasan yang terjejas banjir agar tidak mengganggu operasi rasmi yang akan dilakukan oleh pihak berkuasa. Kesemua syarikat yang bakal beroperasi akan mendapatkan kebenaran rasmi oleh pihak berkuasa serta menggunakan teknologi terkini bagi mengesan pergerakan dron untuk koordinasi yang lebih cekap dan selamat oleh agensi penyelamat.

Inisiatif PTK2Dron ini juga adalah sebahagian daripada Misi Utama Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30) yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada sesi perjumpaan Majlis Ekonomi Digital 4IR Negara (MED4IRN) yang menjangkakan sumbangan industri dron dapat menjana RM50.71 bilion kepada KDNK negara serta mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2030.

Pada majlis yang sama, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba turut menyaksikan pelancaran produk insuran Onedrone oleh Malvus Sense dan pelancaran Drone EduKit oleh syarikat Meraque.

 

MG 8438           DSF5624

DSF5549           DSF5552 2

Skip to content