Skip to main content
Berita

MOSTI CARE Bawa Robot Kancil dan Nexora, Ceriakan Pesakit Kanak-Kanak di Hospital Rehabilitasi Cheras

17 November 2026, Cheras – Membina model roda ferris, memasang kereta magnet dan menyaksikan aksi robot humanoid antara pengalaman menarik yang dibawakan kepada pesakit kanak-kanak dan remaja di Hospital Rehabilitasi Cheras menerusi program MOSTI CARE hari ini.
Menerusi program ini, MOSTI membawa robot humanoid Nexora dan Robot Kancil ke Sekolah Dalam Hospital (SDH), Wad 2A Pediatrik, bagi memberi peluang kepada pesakit meneroka dunia sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui aktiviti pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan sepanjang menjalani rawatan dan rehabilitasi.
Menerusi sesi pemasangan kit STEM, peserta berpeluang membina pelbagai model seperti roda ferris, kereta magnet dan robot mini. Pemilihan kit disesuaikan mengikut umur serta keupayaan setiap peserta bagi memastikan mereka dapat mengambil bahagian berdasarkan kemampuan masing-masing. Peserta turut berpeluang menyaksikan demonstrasi robot humanoid Nexora dan Robot Kancil secara lebih dekat.
Lawatan ini diketuai oleh YBhg. Datin Safida Zalma Mohd Piah, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), MOSTI. Turut hadir ialah YBrs. Encik Abdullah Daud, Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI, MOSTI serta YBrs. Puan Ida Semurni Abdullah Ali yang mewakili Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT).
Menerusi inisiatif MOSTI CARE, MOSTI terus memperluas usaha pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) secara inklusif bagi memastikan peluang mengenali, mempelajari dan meneroka bidang STEM dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak dan remaja yang sedang menjalani rawatan di hospital.
Inisiatif ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada dunia sains dan teknologi, malah turut mencetuskan rasa ingin tahu, merangsang kreativiti serta membawa keceriaan dan pengalaman bermakna kepada pesakit kanak-kanak.
Skip to content