14 Feb. 2014, Bidor – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi agensinya Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dengan kerjasama Yayasan Orang Asli Perak (YOAP) dan Kem Batalion 3 PGA Bidor telah mengenalpasti dan mengiktiraf 10 inovator akar umbi di kalangan masyarakat Orang Asli melalui program Jejak Inovasi bersempena dengan Fiesta Jis Pai pada 14 Feb. 2015.
Majlis Pengikhtirafan kepada para inovator tersebut telah disempurnakan oleh Y.B. Datuk Dr. Ewon Ebin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di Bidor hari ini. Para inovator menerima sijil penghargaan dan hamper setiap satu sebagai mengikhtiraf usaha mereka dalam mengaplikasikan kreativiti dan Inovasi dalam kehidupan.
Jejak Inovasi merupakan program utama YIM yang telah dijalankan semenjak tahun 2011 lagi dan Jejak Inovasi kali ini merupakan yang ke-31 dan pertama kalinya bagi tahun 2015. Tujuan program Jejak Inovasi ialah mencari, mendokumen, mengikhtiraf dan membangunkan Inovasi-inovasi yang dihasilkan oleh masyarakat akar umbi di seluruh Malaysia.
Menerusi program tersebut, YIM akan membawa sekumpulan pakar untuk menilai inovasi akar umbi yang ditemui. Inovasi yang berpotensi akan dibangunkan dengan lebih lanjut ke arah pre-pengkomersilan.
Terdahulu YB Datuk Dr. Ewon Ebin telah merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Bestari IT Yayasan Orang Asli Perak di Kampung Kerawat, Simpang Pulai, Perak. Program Perayaan Fiesta ‘Jis Pai / ‘Genggulang’ diadakan setiap tahun di kalangan masyarakat orang asli di Bidor. Tahun ini perayaan tersebut disambut pada 13 – 14 Februari 2015. Antara aktiviti lain yang diadakan ialah pertandingan karaoke, pertandingan sukan dan sukan rakyat, pameran dan jualan kraftangan serta demonstrasi makanan tradisi Orang Asli.
Perayaan Fiesta ‘Jis Pai / ‘Genggulang’ lebih memberi gambaran terhadap hidup bermasyarakat suku kaum Orang Asli yang mengutamakan muafakat dan juga bercirikan hidup berkongsi satu budaya. Perayaan tersebut merupakan sambutan tahun baru yang diraikan oleh kaum Orang Asli di Negeri Perak di sekitar bulan Jan-Mac. Matlamat utama adalah untuk melahirkan rasa kesyukuran atas kurniaan yang dianugerahkan oleh Tuhan