Skip to main content
Berita

Acara Kemuncak Sambutan “Safer Internet Day” 2015 Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur Turut Diraikan Bersama Warga Jakarta, Indonesia.

By 2015-02-23Disember 14th, 2020No Comments

KUALA LUMPUR (23 Februari 2015) – CyberSecurity Malaysia, dengan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini menyambut Safer Internet Day 2015 dengan perbagai aktiviti menarik termasuk lintas langsung ke negara jiran. Safer Internet Day disambut di lebih 100 negara. Di Malaysia, Safer Internet Day disambut sejak 2010, sebagai salah satu inisiatif CyberSecurity Malaysia, di bawah program kesedaran dan pembudayaan keselamatan siber yang digelar CyberSAFE (cybersecurity awareness for everyone).

Dalam ucaptama YB Datuk Dr Abu Bakar bin Mohamad Diah, Timbalan Menteri MOSTI, beliau berkata: “Program CyberSAFE adalah selaras dengan salah satu dari sembilan Teras Strategik MOSTI, iaitu Teras Pertama: ‘Membangunkan modal insan dalam Sains, Teknologi dan Inovasi ke arah menjana dan meningkatkan ekonomi berasaskan pengetahuan dan berpandukan Model Inovasi’. Maka sambutan Safer Internet Day bukan sahaja relevan dengan program CyberSAFE, malahan ia juga menepati matlamat teras strategik MOSTI.”

Dr. Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia pula menceritakan pengalaman beliau menyambut Safer Internet Day 2014 dan 2015: “Tahun lepas kami meraikan Safer Internet Day 2014 di Melaka bersama komuniti di sana. Untuk tahun ini, kami amat berbesar hati kerana pihak RMC sudi menjadi hos dan rakan kerjasama CyberSecurity Malaysia. Salah satu aktiviti yang agak unik sempena sambutan Safer Internet Day kali ini ialah lintas langsung menerusi Skype ke Jakarta, Indonesia. CyberSecurity Malaysia bekerjasama dengan Indonesia Security Incident Response Team of Internet Infrastructure (ID-SIRTII) untuk bersama-sama meraikan Safer Internet Day pada hari dan masa yang sama. YB Timbalan Menteri MOSTI sendiri berbual dengan rakan kerjasama di Jakarta secara langsung dan menyaksikan kemeriahan sambutan di sana.”

Tahun ini adalah tahun ke-enam sambutan Safer Internet Day di Malaysia. Setiap tahun, secara rasminya Safer Internet Day disambut pada hari ke-dua, minggu ke-dua dan bulan ke-dua, iaitu jatuh pada tanggal 10 Februari 2015. Walau bagaimanapun, CyberSecurity Malaysia meraikan Safer Internet Day selama sebulan iaitu sepanjang bulan Februari supaya lebih ramai pengguna ruang siber yang mendapat manfaatnya. Pada tahun ini, Acara Kemuncak Sambutan Safer Internet Day berlangsung di Maktab Tentera DiRaja (RMC), dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, RMC, Digi, ID-SIRTII dan sokongan berterusan dari MOSTI.

“Saya berharap semoga usaha murni ini dapat diteruskan dan berjaya mencapai matlamatnya untuk membudayakan amalan positif, berhemah dan beretika dalam kalangan pengguna Internet”, kata Dr. Amirudin lagi.

 

Skip to content