Skip to main content
Berita

MOSTI Lancar Malaysia Grand Challenge (MGC) Sebagai Pemangkin Negara Berteknologi Tinggi

By 2021-01-15Februari 28th, 2021No Comments
Putrajaya, 8 Januari 2021 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini melancarkan Malaysia Grand Challenge (MGC) yang disokong oleh dana pembiayaan MOSTI, bagi mengajak masyarakat bersama-sama cuba mengatasi permasalahan serta menambah baik kehidupan masyarakat, sistem ekonomi dan persekitaran sama ada di peringkat nasional mahupun global.
MGC akan memperkenalkan pelbagai insentif dan langkah kolaboratif melalui penggunaan teknologi pengganggu (disruptive technology) dalam usaha mengarusutamakan bidang sains, teknologi dan inovasi, seterusnya menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi.
MGC diperkenalkan untuk menggalakkan aktiviti Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) negara. Mulai 2021, MOSTI akan menawarkan pembiayaan dana penyelidikan dan pembangunan di bawah Program Dana Pemacu Teknologi Strategik (PEMACU) yang diperluaskan kepada para pemohon dari kalangan syarikat-syarikat pemula (startups) serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui agensi-agensi di bawah Kementerian.
MGC bakal memberi manfaat dalam perkembangan inovasi, kreativiti dan kadar pengkomersialan produk tempatan melalui penggunaan teknologi lestari, seterusnya mengurangkan kebergantungan negara kepada teknologi serta inovasi luar.
Terdapat lima (5) skim Dana Pembiayaan R&D di bawah Program PEMACU iaitu:
a) Dana Penyelidikan Strategik (SRF);
b) Dana Pembangunan Teknologi 1 (TeD1);
c) Dana Pembangunan Teknologi 2 (Ted2);
d) Dana Bridging (BGF); dan
e) Dana Applied Innovation (AIF).
Dana pembiayaan penyelidikan dan pembangunan ini akan memantapkan ekosistem R&D&C&I dalam negara bagi mencapai sasaran 3.5% Perbelanjaan Dalam Negara Kasar bagi Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030. Dana pembiayaan ini juga turut menyokong usaha Majlis High-Tech Nation dalam merangka hala tuju teknologi semasa dan masa hadapan pembangunan negara meliputi isu seperti kesihatan, alam sekitar, makanan, akses kepada teknologi dan keselamatan.
Untuk maklumat lanjut sila layari https://edana.mosti.gov.my/
Skip to content