Skip to main content
Berita

Sultan Terengganu Berkenan Menerima Menghadap Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)

Kuala Terengganu – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah berkenan menerima menghadap YB Tuan Haji Ahmad Amzad Hashim, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi diiringi delegasi Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang terdiri daripada YBhg. Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah binti Tapsir, Ketua Setiausaha MOSTI dan YBhg. Dato’ Parang Abai@Thomas, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan STI) di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu bagi menyembah maklum berkaitan perolehan vaksin COVID-19 di Malaysia.

Dalam majlis menghadap tersebut, YB Tuan Haji Ahmad Amzad telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan situasi semasa COVID-19 pada peringkat dunia dan Malaysia serta usaha Kerajaan dalam membangunkan Pelan Vaksinasi Negara, perolehan vaksin, pembangunan kepakaran dan kemudahan pengeluaran vaksin tempatan.
MOSTI sekali lagi merakamkan penghargaan kepada Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu terutamanya YBhg. Dato` Pengelola Bijaya Diraja dan Setiausaha Sulit Kanan Tuanku Sultan kerana telah banyak membantu menyelaras majlis menghadap ini.
Menjunjung kasih, Tuanku.