Skip to main content
Berita

MOSTI TechTalks Siri 2/2026: AI and the Future of Engineering Careers

2 Julai 2026, Pasir Gudang – MOSTI meneruskan penganjuran MOSTI TECHTalks Siri 2/2026 menerusi topik AI and the Future of Engineering Careers yang berlangsung di Perpustakaan Tun Dr. Ismail, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang, Masai, Johor.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama UiTM Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang ini menghimpunkan mahasiswa, pensyarah dan warga universiti dalam sesi perkongsian ilmu mengenai perkembangan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI) serta masa depan kerjaya dalam bidang kejuruteraan.
Program ini diserikan dengan kehadiran YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, yang berkongsi mengenai perkembangan AI, inisiatif kerajaan dalam memperkasa ekosistem teknologi negara serta kepentingan mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi revolusi teknologi yang semakin pesat. Beliau turut menegaskan bahawa graduan diploma kejuruteraan kekal memainkan peranan penting sebagai tenaga teknikal yang berupaya mengoperasi, menyelenggara dan menambah baik sistem berasaskan AI dalam persekitaran industri sebenar.
YBrs. Prof. Ir. Ts. Dr. Juliana Johari, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni), Universiti Teknologi MARA turut berkongsi pandangan mengenai peranan institusi pengajian tinggi dalam melahirkan graduan masa hadapan yang bukan sahaja menguasai teknologi dan kecerdasan buatan (AI), malah berupaya menjadi inovator, pencipta nilai serta pemimpin yang beretika dalam mendepani transformasi digital.
Program diteruskan dengan sesi soal jawab interaktif yang dikendalikan oleh Dr. Tan Shu Ying, Senior Principal Analyst, Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT). Sesi tersebut memberi peluang kepada para peserta mendapatkan pandangan secara langsung daripada panel mengenai cabaran, peluang serta prospek kerjaya dalam era kecerdasan buatan.
Penganjuran MOSTI TECHTalks Siri 2/2026 diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dan minat mahasiswa terhadap bidang sains, teknologi dan inovasi (STI), di samping memperkukuh kerjasama strategik antara MOSTI dan UiTM dalam usaha melahirkan modal insan yang kompeten, inovatif serta bersedia mendepani cabaran masa hadapan.
Skip to content