18 Ogos 2026, Kuala Lumpur – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah menyempurnakan Majlis Perasmian MBOT Experts Network in Technology, Innovation and Cooperative Event (ENTICE) 2026 yang dianjurkan oleh Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).
Malaysia terus memperkukuh komitmen membangunkan ekosistem AI yang beretika dan bertanggungjawab demi mengekalkan daya saing global selari dengan perkembangan teknologi semasa. Sehubungan itu, YB Menteri menegaskan pembangunan AI mesti berteraskan nilai kemanusiaan dan bukannya menggantikan peranan manusia, seiring semangat Revolusi Perindustrian 5.0 (IR5.0) yang memadukan automasi bersama daya cipta manusia secara saksama.
Menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13: 2026–2030), MOSTI menerajui peralihan negara ke arah ekonomi berteknologi tinggi menerusi penerapan AI secara bertanggungjawab serta pembangunan bakat masa hadapan. Usaha ini diperkukuh melalui Garis Panduan Negara Mengenai Tata Kelola dan Etika AI (AIGE) dan Program STI100³, di mana MOSTI bersama MBOT terus menyokong ekosistem AI beretika di samping memupuk generasi profesional STEM dan AI negara.
Program yang bertemakan “Breakthrough with Purpose in the Age of AI” ini meletakkan penanda aras baharu dengan menghimpunkan kira-kira 700 profesional, pemimpin industri dan ahli akademik. Selain itu, majlis ini turut mengiktiraf kecemerlangan, kepimpinan dan sumbangan berterusan profesional teknologi tempatan menerusi penyampaian anugerah berprestij seperti Anugerah Teknologis Negara 2026, Anugerah Juruteknik Negara 2026, MBOT Woman Leadership Award 2026 dan Distinguished Honorable Award.
MBOT turut bekerjasama dengan badan antarabangsa seperti IMarEST dan ITERATI dari Indonesia bagi meluaskan pengiktirafan serta pertukaran kepakaran tenaga kerja tempatan ke arah negara berteknologi tinggi.




