18 Ogos 2026, Seri Kembangan – Kem Olympiad Nanoteknologi Malaysia (ONM) Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung dari 16 hingga 22 Ogos 2026 di Universiti Putra Malaysia (UPM) menghimpunkan 30 finalis terbaik dari seluruh negara bagi memperkasa bakat muda dalam bidang sains, teknologi dan inovasi, khususnya nanoteknologi.
Bertemakan *”Nano Meets Bio: Nanotechnology in Biomedical Sciences”*, ONM 2026 memberi pendedahan kepada peserta mengenai potensi dan aplikasi nanoteknologi dalam sains bioperubatan, di samping memperkukuh pemikiran kritikal, kreativiti, penyelesaian masalah dan inovasi.
Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, khususnya nilai Berdaya Cipta, peserta turut mengikuti aktiviti pengukuhan pasukan, sesi interaktif serta lawatan pembelajaran dan industri ke IMU University, Institut Biosains (IBS), UPM dan MIMOS Berhad. Pendedahan ini membolehkan peserta memahami bagaimana nanoteknologi diterjemahkan daripada penyelidikan kepada aplikasi sebenar dalam bidang sains bioperubatan, teknologi kesihatan dan inovasi berteknologi tinggi.
Pendekatan berasaskan pengalaman ini diharap dapat mencetuskan rasa ingin tahu saintifik serta memperluas perspektif peserta terhadap peluang pendidikan, penyelidikan dan kerjaya dalam bidang nanoteknologi dan teknologi termaju, sekali gus mengenal pasti dan membangunkan bakat muda sebagai generasi saintis, penyelidik, inovator dan teknologis negara.
Penganjuran ONM 2026 mencerminkan komitmen berterusan Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Persatuan Sains dan Teknologi Keadaan Pepejal Malaysia (MASS) dalam memperkukuh pembangunan bakat serta pembudayaan sains, teknologi dan inovasi. Inisiatif ini turut meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap kepentingan nanoteknologi sebagai bidang teknologi strategik negara, di samping menggalakkan mereka mencipta, berinovasi dan menerajui pembangunan teknologi masa hadapan.




