Skip to main content
Berita

MYMOBIFIX Tingkatkan Kemahiran Individu Yang Terkesan Akibat Pandemik Covid-19

By 2021-11-15November 16th, 2021No Comments
15 November 2021, Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Yayasan Inovasi Malaysia – YIM – Malaysia Innovation Foundation dengan kerjasama HSBC Bank Malaysia telah berjaya menganjurkan MyMobiFix Programme: Smartphone Repair and Social Entrepreneurship Bootcamp bagi meningkatkan kemahiran individu dan komuniti yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Program ini bertujuan menyediakan peserta dengan kemahiran dan pengetahuan khusus keusahawanan dan bidang pembaikan telefon pintar bagi meningkatkan taraf kehidupan melalui peluang pekerjaan dan pendapatan.
Majlis graduasi yang julung kalinya diadakan ini disaksikan oleh Menteri MOSTI, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, menandakan kejayaan fasa pertama projek yang direalisasikan hasil sumbangan berjumlah RM500,000 oleh HSBC Bank Malaysia.
Menurut YB Dato’ Sri Adham, “MOSTI yakin selepas majlis graduasi pada hari ini, pesertapeserta ini mempunyai pelbagai potensi, mereka boleh menjadi seorang usahawan, boleh juga bekerja dengan syarikat-syarikat telefon pintar terkemuka. Mereka juga boleh menjadikan perkhidmatan pembaikan telefor pintar secara sambilan.”
Terbahagi kepada tiga fasa, program MyMobiFix melibatkan 170 peserta. Fasa 1 melibatkan 50 orang belia yang dijalankan selama enam hari pada bulan November 2021. Fasa ini melibatkan latihan peringkat asas hingga lanjutan di mana mereka mendapat pengetahuan tentang perisian dan perkakasan telefon bimbit; menukar bahagian dan komponen, membaiki kerosakan perkakasan dan perisian alat canggih.
Majlis graduasi hari ini menandakan berakhirnya program fasa 1 dan membuka laluan kepada 20 belia berprestasi tinggi daripada kumpulan pertama untuk menyertai fasa 2 – iaitu program Train-the-Trainer selama tiga hari yang membolehkan mereka menjadi jurulatih junior sambil mendalami pengetahuan perisian dan perkakasan untuk meningkatkan lagi kemahiran teknikal mereka.
Semasa fasa 3, 20 jurulatih junior ini kemudiannya akan melatih sejumlah 120 belia daripada empat komuniti PPR dalam bengkel empat hari yang akan mengajar pembaikan asas telefon pintar dan cara memulakan dan menjalankan perusahaan dari segi sosial dan alam sekitar.
MyMobiFix dianjurkan oleh YIM dengan kerjasama U4U dan Deep Rich Gadget yang memberi impak yang menggalakkan pendidikan berkualiti inklusif, saksama dan menyokong peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk komuniti terpinggir melalui perkongsian strategik dengan organisasi masyarakat sivil, syarikat, agensi kerajaan dan komuniti tempatan untuk membolehkan impak kolektif.
Skip to content