Skip to main content
Berita

Dasar Dan Strategi Nanoteknologi Negara (DSNN) 2021-2030 Memacu Malaysia Sebagai Negara Berteknologi Tinggi

15 November 2021, Kuala Lumpur –  Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini melancarkan Dasar dan Strategi Nanoteknologi Negara 2021-2030 (DSNN) yang fokus kepada bidang nanoteknologi. Pelancaran DSNN selari dengan matlamat DSTIN 2021-2030 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi dalam usaha mentransformasikan negara daripada pengguna teknologi kepada pembangun teknologi.
YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan bahawa pelancaran DSNN mengetengahkan potensi nanoteknologi yang mampu menyelesaikan cabaran yang dihadapi negara seperti masalah pencemaran alam sekitar, penjanaan tenaga boleh baharu, hasil pertanian dan keselamatan makanan serta pelbagai bidang keutamaan negara.
Tambah Dato’ Sri Adham lagi, “Pandemik COVID-19 telah membuktikan perkembangan nanoteknologi dalam pembangunan vaksin Pfizer/BioNTech dengan mengaplikasikan lipid nanoparticles yang melindungi dan membawa mRNA ke tapak sasaran sel yang dikehendaki dalam badan manusia.”
Pelaksanaan DSNN akan memberi manfaat kepada pembentukan ekosistem nanoteknologi negara yang dinamik dan progresif, yang merupakan salah satu teras kepada pelaksanaan Polisi 4IR Kebangsaan. Seterusnya, DSNN dapat menyediakan ekosistem nanoteknologi yang mampan bagi memastikan negara mampu terus berdaya saing.
DSNN merangkumi 4 Teras Strategik disokong oleh 15 strategi serta 32 inisiatif yang merentasi pelbagai sektor ekonomi seperti:
a. Teras strategik 1: memperkukuhkan ekosistem dan tadbir urus;
b. Teras strategik 2: memakmurkan penyelidikan & pembangunan (R&D);
c. Teras strategik 3: meningkatkan pengkomersialan dan memacu industri; dan
d. Teras strategik 4: memperkukuhkan standard, keselamatan dan regulatori.
DSNN akan memastikan penggunaan sumber yang lebih efisien dapat dipertingkatkan, kos penyelidikan serta pembangunan teknologi dan produk dapat dioptimumkan untuk kemajuan Keluarga Malaysia.
Skip to content