Skip to main content
Berita

NTIS – AirAsia Teroka Khidmat Penghantaran Melalui Dron Di Kawasan Bandar

By 2021-03-06Jun 10th, 2021No Comments

CYBERJAYA, 6 Mac 2021 – Para pembeli di Malaysia tidak lama lagi boleh menikmati pengalaman beli-belah baharu kerana Teleport, cabang logistik airasia Digital hari ini mengumumkan kerjasama dengan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), selaku Sekretariat Utama Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS), untuk melancarkan Sandbox Penghantaran Melalui Dron di Kawasan Bandar dan menguji daya maju jangka panjang perkhidmatan penghantaran melalui dron di kawasan bandar.

Projek perintis untuk perkhidmatan penghantaran pesanan dari platform e-dagang airasia termasuk airasia shop menggunakan dron automatik akan dilaksanakan melalui pendekatan bertahap selama enam bulan di tapak ujian NTIS ketiga di Cyberjaya. Perkhidmatan ini masih dalam peringkat ujian oleh dua pengendali dron tempatan VStream Revolution Sdn Bhd dan Meraque Services Sdn Bhd.
Fasa pertama projek di Cyberjaya ini bertujuan untuk menilai keupayaan, pengalaman, proses kelulusan, kesediaan dron dan pengembangan perkhidmatan oleh pengendali dron. Perkhidmatan ini dijangka akan dilancarkan setelah fasa percubaan berjaya dan mungkin diperluaskan di luar persekitaran sandbox. Sebagai pusat penyelarasan dan pemudahcara penyelesaian nasional, NTIS menyediakan langkah kritikal dengan memberi kelonggaran kepada proses terpilih atau keseluruhan dan/atau keperluan kawal selia untuk mempercepat pembangunan penyelesaian inovatif daripada peringkat penyelidikan dan pembangunan kepada peringkat yang sedia untuk dikomersialkan.
Dalam merealisasikan projek ini, NTIS telah bekerjasama rapat dengan satu-satunya pengawal selia teknikal di Malaysia iaitu Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk memastikan aspek keselamatan bagi perkhidmatan kenderaan udara tanpa pemandu di kawasan bandar memenuhi keperluan dan peraturan seperti yang ditetapkan oleh CAAM. Ini juga untuk memastikan keselamatan awam kekal menjadi keutamaan tertinggi selain memudahkan kemajuan teknologi. YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata: “Kami bersedia untuk menjadi peneraju utama dalam industri teknologi dron (DroneTech), yang dijangka akan menjana USD127 bilion menjelang 2025. Saiz pasaran global khusus untuk penghantaran pesanan melalui drone berjumlah USD642.4 juta pada tahun 2019, dan diunjurkan untuk mencapai USD7.388 bilion pada tahun 2027. Perkhidmatan penghantaran melalui dron juga dapat diperluas dan ditingkatkan dalam pelbagai sektor selain e-dagang, seperti penhantaran bekalan penting atau perubatan ke kawasan luar bandar, terpencil, atau yang terjejas oleh bencana alam.
Skip to content