Skip to main content
Berita

Pengumuman Penerima Geran Penyelidikan Dr Ranjeet Bhagwan Singh 2024

19 Ogos 2024, Kuala Lumpur – Pengukuhan infrastruktur penyelidikan dan pembangunan (R&D) Malaysia, terutamanya dalam bidang perubatan diperibadikan (personalised medicine) dan penjagaan kesihatan digital (digital healthcare), akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam penyelidikan global dan meletakkan Malaysia sebagai sebuah hab bagi penyelidikan perubatan termaju.
Secara asasnya, pelaburan dalam R&D dapat memacu pertumbuhan ekonomi dengan memupuk daya inovasi, mewujudkan pekerjaan berteknologi tinggi dan meningkatkan daya saing global.
“Dengan lebih daripada 1,200 ujian klinikal yang ditaja dijalankan pada tahun 2023, Malaysia sedang mengukuhkan kedudukannya sebagai hab penyelidikan klinikal diAsia Tenggara. Kajian-kajian hebat yang dibuat oleh penerima Geran Penyelidikan Dr Ranjeet Bhagwan Singh adalah penting dalam memajukan pembangunan vaksin, penyelidikan kanser, dan kesihatan awam. MOSTI komited untuk meneruskan momentum ini bagi mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia dalam komuniti penyelidikan perubatan global,” ujar YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi semasa ucapan beliau pada Pengumuman Penerima Geran PenyelidikanDr Ranjeet Bhagwan Singh 2024.
Pada majlis tersebut, YB Tuan Chang Lih Kang telah menyampaikan Geran Penyelidikan Dr Ranjeet Bhagwan Singh 2024 bernilai RM50,000 kepada Pensyarah Kanan di Universiti Malaya, Dr Muhammad Farid Nazer Muhammad Faruqu.
Menerusi geran ini, beliau akan menjalankan penyelidikan lebih lanjut berkenaan ‘Investigating EVbodies – Bioengineered Extracellular Vesicles (EVs) as Nano-Neutralising Agents Against EGF in Attenuating EGFR-driven Lung Cancer.’
Terdahulu, Profesor Kehkooi Kee, pensyarah Malaysia di Universiti Tsinghua, China, telah menyampaikan Syarahan Peringatan bertajuk ‘Merevolusikan Kesihatan:Kesan Sel Stem terhadap Penyelidikan Asas dan Perubatan.’
Tabung Amanah Perubatan Dr Ranjeet Bhagwan Singh adalah sebuah inisiatif oleh mendiang Dr Ranjeet Bhagwan Singh, individu yang mempunyai visi dan dermawan luar biasa dalam bidang sains perubatan dan kesihatan. Sehingga hari ini, Tabung Amanah Perubatan Dr Ranjeet Bhagwan Singh telah membiayai sebanyak 28 projek penyelidikan serta 11 bengkel teknikal sejak penubuhannya pada tahun 1997.
Skip to content