Skip to main content
Berita

Penyerahan Benih Padi IS21 Kepada Pesawah Pertubuhan Peladang Kawasan Machang

24 Julai 2022, Machang – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) hari ini telah menyumbangkan benih padi baharu IS21 kepada pesawah-pesawah Pertubuhan Peladang Kawasan Machang sebagai salah satu platform tanggungjawab sosial korporat untuk rakyat di Negeri Kelantan.

Penyerahan Benih Padi IS21 tersebut telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. K. Nagulendaran, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan & Pembudayaan Sains), MOSTI bertujuan untuk membantu dan memberi sumbangan kepakaran daripada hasil penyelidikan yang dihasilkan oleh para penyelidik Nuklear Malaysia demi manfaat dan kegunaan rakyat. Melalui sumbangan ini, diharapkan dapat memberi sinar dan semangat kepada para petani, sekali gus berupaya menjalin hubungan berterusan antara Nuklear Malaysia dengan pelbagai pihak yang berkaitan.

Penyerahan Benih Padi IS21 ini dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan. Ia merupakan salah satu program luar sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Kelantan.

Padi IS21 adalah varieti padi baharu yang adaptasi kepada perubahan cuaca telah dihasilkan daripada kajian biak baka mutasi aruhan sinaran gamma oleh Agensi Nuklear Malaysia. Padi ini telah didaftar dengan Jabatan Pertanian Malaysia di bawah New Plant Varieties Act 2004 dengan nombor pendaftaran PBR 0156 pada 20 Mei 2020. Varieti yang asalnya dikenali sebagai NMR 152 ini telah diberi nama komersial sebagai IS21 ini telah dilancarkan secara rasminya oleh YAB Perdana Menteri pada 20 November 2021 di Sekinchan, Selangor.

Benih padi IS21 ini telah diperakukan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sebagai varieti sah negara pada 29 Januari 2021 dan boleh dibeli oleh petani pada harga subsidi RM 35 satu bag/20kg.

Padi Benih IS21 ini mempunyai daya tahan tinggi terhadap cuaca ekstrem dan mempunyai daya rintang terhadap beberapa penyakit padi yang sering merugikan para pesawah. Dari segi penghasilannya pula, potensi pengeluaran baka padi IS21 ini boleh mencecah sehingga sepuluh (10) tan sehektar mengikut Kawasan penanaman jika diurus dengan baik mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Di bawah program Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM), sebanyak 2000 metrik tan benih padi IS21 dan sebanyak 7200 orang pesawah telah menerima manfaat menerusi pengagihan tersebut di Semenanjung Malaysia.

Skip to content