Skip to main content
Berita

Pertanian Pintar (Smart Farming) Penyelesaian Kepada Sekuriti Makanan

25 Julai 2022, Kuala Lumpur – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba hari ini telah mempengerusikan Sesi Libat Urus Pertanian Pintar (Smart Farming) bersama pemegang taruh yang terdiri daripada wakil Kementerian, jabatan dan agensi serta pihak industri.

Sebelum ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengenal pasti sebanyak 27 penyelesaian teknologi agropertanian yang telah tersedia untuk diperluaskan dan satu perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah diadakan di MOSTI pada 28 Jun 2022. Antara kekangan yang dikenal pasti adalah kos penggunaan teknologi yang tinggi dan pengadaptasian serta kadar penggunaan teknologi oleh petani dan peladang adalah rendah.

Sejak memulakan inisiatif Bilik Gerakan Penyelesaian Teknologi MOSTI pada 10 Jun 2022, sebanyak 12 siri pertemuan dan mesyuarat telah diadakan dalam tempoh satu bulan bersama pemegang taruh dan pemain industri pertanian di beberapa lokasi yang bertujuan untuk memperoleh maklum balas berhubung teknologi yang boleh membantu menangani isu sekuriti makanan negara.

YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba berkata “sesi libat urus yang diadakan pada hari ini adalah bertujuan untuk mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh smart farming berhubung beberapa penyelesaian teknologi yang boleh diguna pakai dan memperincikan lagi kaedah adaptasi bagi mengatasi masalah sekuriti makanan yang dihadapi oleh komuniti atau masyarakat umum. Penyelesaian ini juga menyasarkan kepada skala kecil, kos penggunaan teknologi yang rendah dan sederhana serta pengaplikasiannya oleh penduduk bandar yang berhadapan dengan isu kekangan ruang dan tanah bagi tujuan pertanian.”

Antara penyelesaian teknologi yang telah dikenal pasti oleh MOSTI adalah:
i. automasi sistem fertigasi;
ii. pertanian menegak (vertical farming);
iii. akuaponik beraplikasikan kecerdasan buatan (AI) yang mampu beroperasi di kawasan terpencil, mengurangkan kos operasi dan tumbuhan hijau boleh ditanam mengikut kesesuaian kawasan; dan
iv. penggunaan biobaja pintar, teknologi penjerap (absorption) nutrien dan pemuliharaan tanah yang mampu meningkatkan hasil tanaman sehingga 8% dan menjimatkan penggunaan baja sehingga 50%.
Di samping itu, antara kaedah roll out yang mungkin boleh dilaksanakan adalah seperti:
i. kerjasama rantaian bekalan antara pembekal bahan mentah seperti baja alternatif atau biobaja dan makanan ternakan atau akuakultur dengan pengusaha atau grower;
ii. program vendor pembekal hasil akhir pertanian dengan anchor companies yang bertindak sebagai off takers yang disokong oleh pembiayaan inovatif; dan
iii. kaedah leasing sesuatu teknologi berbanding penjualan terus teknologi seperti robotik dan Internet benda (IoT) kepada pengusaha pertanian.

Skip to content