26 Oktober 2023, Kuala Lumpur – Industri perladangan memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia di mana negara ini antara pengeksport utama minyak sawit di dunia. Industri kelapa sawit adalah berintensifkan tenaga pekerja dalam pengurusan perladangan terutama penuaian buah.
Dalam mengetengahkan keperluan teknologi untuk memudahkan penuaian dan mengurangkan keperluan tenaga pekerja, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengambil inisiatif untuk meneliti pembangunan penyelesaian teknologi bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).
YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah mempengerusikan Perbincangan Mengenai Pembangunan Penyelesaian Teknologi Bagi Isu Penuaian Kelapa Sawit pada 26 Oktober 2023 yang turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ Haji Mad Zaidi Mohd Karli, Ketua Setiausaha KPK, YM Datuk Dr. Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim, Presiden Akademi Sains Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir, Ketua Pengarah Lembaga Sawit Malaysia (MPOB) dan pegawai kanan kementerian dan agensi.
Ahli mesyuarat telah membincangkan isu penuaian dan pengaplikasian teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), robotik, dron dan mekanisasi dalam memudah dan mempercepatkan penuaian buah. MOSTI dan KPK bersetuju untuk mengadakan kolaborasi merentasi kementerian dalam pembangunan teknologi penyelesaian untuk penuaian buah kelapa sawit yang akan turut melibatkan pengusaha industri. Usaha bersama ini adalah penting dalam memastikan kemampanan industri perladangan dan selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030.