8 Jun 2026, Putrajaya – YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia wajib mempertahankan prinsip masyarakat majmuk seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, selain menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk politik kebencian berasaskan kaum. Ini antara intipati ucapan YAB ketika Majlis Perjumpaan YAB Perdana Menteri bersama-sama warga Kementerian bersempena dengan Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi pada pagi ini.
Beliau menekankan bahawa walaupun landskap politik tanah air sering diwarnai oleh perbezaan pandangan dan persaingan sengit, hakikat kepelbagaian kaum serta budaya adalah asas utama pembentukan negara ini sama sekali tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
Beliau turut mengarahkan penguatkuasaan dipertingkat bagi menangani penyalahgunaan visa pelawat oleh warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa kebenaran demi melindungi kepentingan peniaga tempatan dan peluang pekerjaan rakyat.
YAB Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi atas komitmen dalam mendidik masyarakat serta mengurus komunikasi krisis dengan berkesan, khususnya dalam memberi penjelasan berkaitan inisiatif bantuan subsidi seperti BUDI95 sehingga diterima baik oleh rakyat tanpa menimbulkan kekecohan.




