29-30 Julai, 2026, Kuching – Lebih 5,200 pelajar dan orang awam sekitar Kuching telah menyertai Program Advokasi Nuklear yang berlangsung sempena Karnival Minggu Sains Negara.
Menerusi program berkenaan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus memperluas usaha untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap sains dan teknologi nuklear, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Sepanjang dua hari program, para pengunjung berpeluang meneroka pelbagai aktiviti interaktif yang dibawakan oleh pasukan Program Advokasi Nuklear daripada Bioeconomy Corporation, Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Tenaga Atom dan Pusat Sains Negara.
Antara aktiviti yang diketengahkan ialah Misi Eksplorasi Nuklear berkonsepkan escape room, Permainan Papan Bandar Pintar Nuklear, Kebuk Awan, VR Nuklear, Model Permainan Teras Reaktor, Model Alat Pengesan Sinaran, Jom Bina Atom, Demonstrasi Separuh Hayat serta AR Atom dan Molekul.
Pengunjung turut menerima buku interaktif “𝐏𝐞𝐧𝐠𝐞𝐦𝐛𝐚𝐫𝐚𝐚𝐧 𝐃𝐮𝐧𝐢𝐚 𝐍𝐮𝐤𝐥𝐞𝐚𝐫”, yang dibangunkan untuk menerangkan penggunaan dan aplikasi teknologi nuklear dalam bahasa yang mudah difahami.
Melalui penceritaan, ilustrasi dan aktiviti interaktif, buku ini membawa pembaca mengenali peranan teknologi nuklear dalam kehidupan seharian, termasuk dalam bidang pertanian, perubatan, perindustrian, pembuatan, keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar. Pengunjung juga berpeluang membawa pulang photo strips sebagai kenang-kenangan.
Lebih daripada sekadar pameran, program ini membantu masyarakat memahami bahawa sinaran turut wujud secara semula jadi di sekeliling kita, manakala teknologi nuklear boleh dimanfaatkan secara selamat dan bertanggungjawab untuk menyokong kesejahteraan masyarakat serta pembangunan negara.
Program Advokasi Nuklear merupakan inisiatif kolaboratif yang diterajui oleh MOSTI melalui Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI (PSTI), dengan Bioeconomy Corporation sebagai Rakan Strategik serta Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Tenaga Atom dan Pusat Sains Negara sebagai Rakan Pelaksana.




