31 Julai 2026, Pulau Banggi – YB Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), telah menyempurnakan Program Jangkauan Keterangkuman (Outreach) Malaysia Techlympics 2026 di SMK Banggi, Pulau Banggi, Kudat, Sabah.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Malaysia Techlympics 2026 di bawah MOSTI yang bertujuan membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) secara inklusif selaras dengan aspirasi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030.
Pelbagai aktiviti interaktif dan berasaskan pengalaman telah dilaksanakan bagi meningkatkan minat pelajar terhadap bidang STI serta memberi pendedahan kepada kemahiran masa hadapan seperti Kecerdasan Buatan (AI), pengekodan (coding), pengkomputeran awan dan teknologi dron.
Program ini turut mencerminkan komitmen MOSTI dalam memperluaskan akses kepada pendidikan STI sehingga ke kawasan luar bandar dan pedalaman, sekali gus melahirkan generasi yang kreatif, inovatif dan berdaya saing bagi menyokong agenda Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi.
MOSTI merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah, rakan strategik serta semua pihak yang telah bekerjasama menjayakan program ini.




