11 Disember 2024, Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan agensinya, Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), mengumumkan lima (5) solusi daripada syarikat tempatan sebagai pemenang bagi Program MYHackathon 2024 Kohort 2. Pengumuman tersebut dibuat semasa majlis perasmian penutupan program yang disempurnakan oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di Asian Institute of Chartered Bankers (AICB), Kuala Lumpur.
Setiap pemenang kohort 2 ini bakal menerima geran bersyarat bernilai sehingga RM250,000.00 untuk melaksanakan pembangunan projek rintis serta akses kepada bimbingan pelaksanaan projek secara one-to-one untuk tempoh 12 bulan akan datang. Kesemua pemenang juga bakal bekerja secara rapat dengan pemilik pernyataan masalah bagi memperhalusi rancangan pelaksanaan solusi mereka.
YB Tuan Chang Lih Kang dalam ucapannya menyatakan, “Saya amat kagum dengan kualiti idea dan cadangan yang dikemukakan. Inovasi yang diketengahkan bukan sahaja praktikal, malah ia selari dengan keperluan transformasi digital negara. Saya yakin, beberapa inovasi ini boleh dikomersialkan dan dikembangkan pada skala yang lebih besar pada masa akan datang. Dalam konteks ini, program MYHackathon 2024 secara langsung menyokong aspirasi Malaysia MADANI, yang menekankan nilai pembaharuan serta daya cipta manusia dalam mencapai pembangunan berteraskan rakyat.”
Untuk edisi tahun 2024, MOSTI melalui Cradle telah melancarkan dua kohort dengan tema ’Hackathon Nasional Untuk Malaysia MADANI’, masing-masing pada 23 September dan 25 November. Kedua-dua kohort ini telah mengenal pasti 12 pernyataan masalah mendesak yang diperoleh daripada pelbagai Kementerian, agensi dan kerajaan tempatan. Sebanyak tujuh (7) pernyataan masalah telah diketengahkan untuk Kohort 1 dan lima (5) lagi untuk Kohort 2.
Inisiatif ini telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dengan jumlah pertanyaan dan permohonan diterima sebanyak 419 untuk kohort pertama dan 391 untuk kohort kedua, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 810. Selain itu, program MYHackathon 2024 ini telah menerima sebanyak 3.8% (103) permohonan daripada Sabah dan Sarawak untuk kohort pertama, dan 3.9% (101) permohonan untuk kohort kedua. Pemenang cabaran ini akan diberikan peluang untuk membangunkan penyelesaian inovatif dan mengimplementasikannya melalui program rintis selama 12 bulan.