Skip to main content
Berita

Program Pembudayaan STI Bersepadu Zon Sabah 2026 Melabuhkan Tirai, Semarak STI Terus Menyala di Negeri di Bawah Bayu

22 September 2026, Sabah – Program Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Bersepadu Zon Sabah 2026 melabuhkan tirai, yang menghimpunkan pelbagai inisiatif secara serentak bagi memperluas literasi sains dan teknologi dalam kalangan masyarakat Sabah.

Majlis Perasmian Penutupan telah disempurnakan oleh YB Datuk Rina Haji Jainal, Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, yang turut menekankan kepentingan teknologi dalam memudahkan kehidupan seharian.
Program bersepadu ini menghimpunkan Minggu Sains Negara (MSN) 2026, Malaysia Techlympics, NextGen Tech@MOSTI, STI 1003 dan Rehlah Sains, dengan pengisian melibatkan pelajar, belia, pendidik, usahawan serta komuniti.
Turut diketengahkan ialah Program Advokasi Nuklear bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap aplikasi teknologi nuklear yang selamat, serta Platform Sains Rakyat (Citizen Science) yang membuka peluang kepada masyarakat, termasuk komuniti luar bandar, menyumbang data dunia sebenar untuk menyokong penyelidikan dan pembangunan berasaskan sains.
Program ini bukan sekadar penutupan sebuah karnival, sebaliknya menjadi pemangkin kepada usaha berterusan menyemai rasa ingin tahu, membina keyakinan dan mencetuskan aspirasi generasi muda untuk meneroka STEM, teknologi dan inovasi. Seiring aspirasi UMS, ilmu perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai oleh sekolah, komuniti, industri dan masyarakat.
Kejayaan penganjuran ini diperkukuh melalui kerjasama MOSTI, Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah , Universiti Malaysia Sabah (UMS), Rakan MySains MOSTI serta pelbagai rakan strategik dan pelaksana, membuktikan bahawa pembudayaan STI merupakan agenda bersama.
Semoga semangat yang tercetus terus berkembang daripada bilik darjah ke universiti, daripada penyelidikan ke industri, dan daripada idea kepada inovasi yang memberi impak kepada rakyat.
Skip to content