Skip to main content
Berita

Program Promosi Bersasar (Technology Preview & Showcase – TPS 2024) Siri 2

14 Jun 2024, Kedah – Kerajaan menyasarkan peningkatan penggunaan teknologi nuklear aman sebanyak 40 peratus dengan nilai pelaburan industri RM2.4 bilion menjelang tahun 2030. Ini selaras dengan pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN 2030) bagi membolehkan negara memaksimumkan manfaat penggunaan teknologi nuklear secara aman untuk pembangunan sosioekonomi, sekali gus meletakkan negara setanding dengan negara maju.
Bagi memacu pembangunan teknologi nuklear negara sehingga tahun 2030, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Kedah telah mengadakan Program Promosi Bersasar (Technology Preview & Showcase – TPS 2024) Siri 2 pada 13 hingga 14 Jun 2024 bertempat di Muzium Padi, Alor Setar, Kedah.
Program ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin. Hadir sama dalam program ini adalah YB Tuan Haji Dzowahir bin Ab Ghani, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Wakil Kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah Darul Aman, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia dan YBrs. Tuan Suhaidi bin Shukri, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Kedah.
TPS merupakan salah satu platform berterusan Nuklear Malaysia dalam rangka promosi pengkomersialan produk, perkhidmatan dan latihan teknologi nuklear yang aman dan selamat kepada rakyat dan industri. Dengan adanya program TPS ini diharapkan dapat meningkatkan tahap penerimagunaan teknologi (technology adoption) nuklear dalam sektor-sektor yang berpotensi serta meningkatkan minat pelajar dalam pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Melalui program ini, hasil penyelidikan dan pembangunan daripada para penyelidik Nuklear Malaysia dapat diketengahkan merentasi pelbagai bidang seperti aplikasi teknologi nuklear dalam sektor agropertanian, teknologi pemprosesan sinaran, perindustrian, alam sekitar, perubatan, kesihatan dan keselamatan sinaran, kejuruteraan nuklear dan latihan.
Nuklear Malaysia dengan Kerjasama Lembaga Muzium Negeri Kedah juga telah melancarkan Galeri Padi Nuklear di mana pengunjung Muzium Padi Kedah berpeluang mendapatkan maklumat dan peranan Agensi Nuklear Malaysia dalam penghasilan variasi benih padi baharu NMR 152.
Justeru itu, kerjasama dan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan amat dialu-alukan dalam memacu kemajuan teknologi nuklear di Malaysia bagi mengarusperdanakan penggunaan aplikasi teknologi nuklear secara aman, mempertingkatkan daya saing industri, memperkukuhkan kesejahteraan rakyat dan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi nuklear bagi menyokong pertumbuhan sosioekonomi negara.
Skip to content