6 Mei 2024, Selangor – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melancarkan Program Ruang Daya Cipta Sabak Bernam dalam usaha untuk memupuk nilai Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) di kalangan komuniti luar bandar.
Ruang Daya Cipta atau singkatannya RDC adalah sebuah inisiatif MOSTI yang dilaksanakan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM). Inisiatif ini bertujuan untuk memberi peluang kepada komuniti di Malaysia untuk mendapatkan akses kepada peralatan atau fasiliti Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
Sehingga kini, YIM telah membangunkan 16 RDC di seluruh Malaysia iaitu tiga (3) buah di Sabah, masing-masing dua (2) buah di Perak, Pahang, Sarawak dan Johor. Manakala satu (1) di Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Selangor.
RDC Sabak Bernam, Selangor dilengkapi pelbagai peralatan dan aplikasi teknologi STIE seperti komputer, mesin percetakan 3D, set studio digital dan sebagainya untuk keperluan komuniti setempat di sekitar RDC ini.
Perasmian RDC Sabak Bernam oleh YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Tuan Chang Lih Kang, pada 5 Mei 2024 ini bertujuan memperkenalkan salah satu inisiatif MOSTI dalam memperkasakan STIE melalui Program RDC dengan mensasarkan penglibatan seramai 300 orang yang terdiri daripada komuniti khususnya di sekitar Sabak Bernam menggunakan kemudahan ini.
Sejak penubuhannya, RDC Sabak Bernam telah memulakan operasinya, dengan sokongan penuh daripada Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB). Akademia daripada UiTM Kampus Puncak Alam, Selangor, turut menjalankan pelbagai modul latihan di RDC Sabak Bernam. Antaranya ialah Poster Design with Canva, Mobilegraphy Technique for Product, Basic Product Design, dan sebagainya.
Di samping itu, akademia daripada UiTM Jengka, Pahang, juga telah mengadakan Bengkel Latihan Permainan Perakaunan yang dinamakan sebagai Accounting of The Block. Lebih daripada 100 peserta, termasuk pelajar dan komuniti setempat telah menyertai program modul latihan ini.
Masyarakat setempat berpeluang untuk menjalankan aktiviti inovasi dengan menggunakan teknologi sedia ada seperti pencetak 3D, robotik, dron dan lain-lain peralatan secara praktikal, sekaligus meningkatkan kualiti kehidupan, produktiviti serta ekonomi komuniti setempat melalui olahan idea dan kreativiti yang dapat dipasarkan.
Secara langsung RDC membantu pembangunan ekonomi, peningkatan kualiti hidup serta kesejahteraan masyarakat dalam usaha mencapai status negara berteknologi tinggi pada 2030. Sehingga hari ini, RDC Sabak Bernam telah menerima kehadiran lebih daripada 500 pengunjung atau peserta daripada komuniti sekitar.