Skip to main content
Berita

Program Ruang Daya Cipta Tanjong Malim

11 Mei 2024, Perak – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini merasmikan Program Ruang Daya Cipta Tanjong Malim dalam usaha untuk memupuk nilai Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) di kalangan komuniti luar bandar.

Ruang Daya Cipta atau singkatannya RDC adalah sebuah inisiatif MOSTI yang dilaksanakan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM). Inisiatif ini bertujuan untuk memberi peluang kepada komuniti di Malaysia untuk mendapatkan akses kepada peralatan atau fasiliti Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
RDC di Tanjong Malim, Perak telah siap dibangunkan bagi dimanfaatkan oleh komuniti setempat bermula pada 15 Mac 2024 yang lalu dengan mensasarkan penglibatan seramai 500 orang yang terdiri daripada komuniti. RDC Tanjong Malim, Perak merupakan lokasi kedua yang telah dibangunkan di Negeri Perak, iaitu selepas RDC Manong.
RDC yang dilengkapi dengan peralatan dan aplikasi teknologi Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) ini bertujuan untuk meningkatkan kapasiti sains, teknologi, inovasi, dan ekonomi dalam kalangan rakyat. Dengan memperkenalkan Program RDC, diharapkan masyarakat dapat memahami peranan serta sumbangan yang penting dari bidang sains dan teknologi dalam memajukan ekonomi negara.
RDC ini akan memberi peluang kepada masyarakat untuk melakukan aktiviti yang kurang dapat diakses sebelum ini, seperti contoh Reka Bentuk, Kreatif & Design Thinking, Elektronik & Robotik, Virtual Reality, Fabrikasi & Pertukangan, Multimedia, Rapid Prototyping dan Startup.
Masyarakat setempat juga berpeluang untuk menjalankan aktiviti inovasi dengan menggunakan teknologi sedia ada seperti pencetak 3D, robotik, dron dan lain-lain peralatan secara praktikal, sekaligus meningkatkan kualiti kehidupan, produktiviti serta ekonomi komuniti setempat melalui olahan idea dan kreativiti yang dapat dipasarkan.
Secara langsung RDC membantu pembangunan ekonomi, peningkatan kualiti hidup serta kesejahteraan masyarakat dalam usaha mencapai status negara berteknologi tinggi pada 2030.
Sekalung penghargaan dan tahniah kepada Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) kerana menjadi tunjang utama memberi sokongan yang signifikan dalam usaha ini.
Terdapat beberapa aktiviti atau program telahpun dilakukan dan akan terus aktif dilaksanakan, antaranya ialah Kursus Pengenalan Robotik, Bengkel Percetakan 3D, Bengkel Dron, Kursus Membaik Pulih Telefon Bimbit melalui MyMobifix, Kursus Percetakan Baju melalui Inovasi Flexsilk dan Kelas Bakeri Cheese Tart melalui Inovasi Shell Tart Presser.
MOSTI berharap agar RDC Tanjong Malim ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi membudayakan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE), dan mencambahkan kreativiti serta inovasi sehingga secara tidak langsung, mendukung usaha kerajaan dalam membantu meningkatkan pencapaian ekonomi dan kesejahteraan komuniti di sini.
Skip to content