17 Mac 2023, Selangor – Pada 17 Mac 2023, YBhg. Datuk Ts. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah merasmikan Sambutan World Sleep Day Peringkat PPUM di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Program ini merupakan hasil kolaborasi di antara PPUM, Universiti Malaya, MRANTI dan beberapa organisasi lain.
YBhg. Datuk Ts. Dr. Aminuddin dalam ucapannya menekankan mengenai keperluan tidur yang mana ianya adalah sama penting seperti keperluan makan dan minum. Terdapat juga kajian yang membuktikan bahawa bernafas dengan lebih kerap semasa tidur akan mengekalkan keseimbangan emosi dan kesihatan fizikal.
Gangguan fungsi pernafasan secara berterusan semasa tidur atau dikenali sebagai Apnea Tidur merupakan satu bentuk gangguan yang mampu menjejaskan perkembangan otak. Kini hampir 4% penghidap lelaki dan 2% penghidap wanita dikesan mengalami gangguan ini di seluruh dunia.
Acara tahunan ini disambut hampir di 88 buah negara di seluruh dunia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan mendapatkan tidur yang berkualiti serta mengenalpasti masalah kesihatan yang berpotensi dihidapi akibat kekurangan atau apabila tidur mangalami gangguan.
“Sleep is Essential for Health” adalah tema pilihan tahun ini di mana ianya bertujuan untuk mendidik masyarakat dunia tentang kepentingan mendapatkan tidur yang mencukupi dan berkualiti.