Skip to main content
Berita

Sarang Lebah Lebih Tahan Lama Dengan Teknologi Bee-Modular-UTM

By 2021-10-09Oktober 11th, 2021No Comments
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Dato’ Sri Dr Adham Baba hari ini mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Ternakan Kelulut Modular Inovasi UTM di Simpang Renggam yang diketuai oleh Dr. Mohd Khairuddin bin Ramliy di bawah geran Malaysia Social Innovation (MySI), MOSTI.
Teknologi Bee-Modular-UTM yang diperkenalkan merupakan satu inovasi kepada reka bentuk sarang dan bahan buatan berasaskan bahan khas kajian yang lebih tahan lama, kalis cuaca dan mudah dikendalikan.Projek ini berlandaskan prinsip tanggungjawab sosial dengan memberi penekanan kepada Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) yang dapat memberi manfaat kepada golong B40 dengan ternakan kelulut yang lebih mampan, inovatif dan berkesan.
Menurut Dato’ Sri Dr. Adham, MOSTI sentiasa memberi sokongan dan galakan dalam penghasilan inovasi serta pembangunan dan penyelidikan tempatan untuk kegunaan masyarakat secara menyeluruh khususnya dalam usaha membantu meningkatkan pendapatan dalam kalangan B40. Langkah berikutnya adalah memastikan projek ini dapat dimanfaatkan secara maksimum oleh komuniti.
Untuk makluman, projek yang sedang dijalankan ini turut mendapat kerjasama daripada YDP Majlis Daerah Simpang Renggam iaitu Tuan Haji Abd Hakim bin Abd Manap. Selain itu, projek ini turut dijayakan oleh Pengerusi Koperasi Eco Usahawan Johor Berhad iaitu Datuk Zakaria bin Dullah.
Menerusi program ini, kumpulan sasaran akan diberi latihan menerusi bengkel dan kerja lapangan sebagai salah satu usaha melahirkan usahawan ternakan lebah kelulut. Perkara asas berkenaan keusahawanan seperi konsep perniagaan, penjenamaan dan pemasaran digital turut diterapkan dengan matlamat setiap peserta program dapat kekal menjana pendapatan menerusi ternakan lebah kelulut.
Skip to content