Skip to main content
Berita

Seminar dan Bengkel Foresight dalam Sains, Teknologi dan Inovasi

14 November 2023, Kuala Lumpur – Seminar dan Bengkel Foresight dalam Sains, Teknologi dan Inovasi yang menghimpunkan ahli data raya dan teknologi foresight dari Kementerian dan Agensi Kerajaan. Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Ruziah binti Haji Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI yang mewakili YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI.
Seminar ini dihadiri oleh 130 peserta dari 25 Kementerian dan Agensi serta Bahagian dan Jabatan di bawah MOSTI manakala Bengkel Foresight dalam STI akan diadakan kepada 45 orang ‘focal point’ Kementerian dan Agensi pada 14 hingga 16 November 2023.
Seminar pada hari ini menggabungkan kepakaran dalam dan luar negara dalam foresight sains, teknologi dan inovasi bagi mewujudkan platform kolaborasi data raya dan foresight merentasi pelbagai kementerian dan agensi.
Dalam ucapannya, YBrs. Puan Ruziah menegaskan akan peluang dan ruang penambahbaikan gerak kerja yang boleh ditambahbaik terutamanya dalam pembangunan polisi Kerajaan iaitu dengan menggabungkannya analitik data raya dan inisiatif foresight.
Penggunaan metodologi foresight akan dapat memberikan panduan kepada pembuat dasar untuk 10-15 tahun akan datang, serta mengurangkan risiko daripada sebarang ketidaktentuan yang berkemungkinan untuk berlaku. Kolaborasi dan perkongsian data dan maklumat yang berterusan merupakan kunci utama untuk memastikan polisi berasaskan data yang menyeluruh dan terbukti berkesan dengan mengambil kira pelbagai senario-senario yang bakal berlaku.
Dalam majlis sama, Sistem Model Data Global Innovation Index (GII) turut dilancarkan. Sistem Model Data GII ini dibangunkan oleh MOSTI dengan kerjasama MIGHT dalam menyediakan maklumat mengenai tahap prestasi Malaysia berbanding negara-negara lain yang dinilai dalam Laporan Global Innovation Index.
Sistem ini digunakan sebagai kaedah kuantitatif dalam merancang strategi dan sasaran pencapaian prestasi negara dalam GII melalui simulasi data dan ‘strategic forecasting technique’. Sistem ini turut berfungsi sebagai penjejak (tracking) data petunjuk dan maklumat inisitiaf yang dapat menyumbang kepada peningkatan prestasi indikator dalam GII dan melihat senario yang berpotensi untuk berlaku berasaskan kepada pelbagai input hasil daripada analisis Laporan GII.
Inisiatif Model Data GII yang berasaskan kepada sistem dashboard dengan menggunakan kaedah lampu isyarat (traffic light) akan dijadikan sebagai pangkalan data bagi memantau program-program inovasi yang dilaksanakan oleh semua Kementerian dan Agensi Kerajaan Persekutuan termasuk kerajaan negeri.
Skip to content