Skip to main content
Berita

Sesi Dialog Bersama Young Scientists Network-Akademi Sains Malaysia (YSN-ASM) Sempena Kolokium YSN-ASM 2023

28 Oktober 2023, Negeri Sembilan – Para saintis muda di Malaysia merupakan individu yang berharga kepada negara sebagai pemacu utama untuk membuka
sempadan baharu inovasi. Oleh yang demikian, Young Scientists Network-Akademi Sains Malaysia (YSN-ASM) adalah satu wadah untuk mewujudkan rangkaian dan kerjasama yang kukuh dengan institusi antarabangsa, menggunakan kepakaran dan pengetahuan mereka untuk memacu ekosistem Sains, Teknologi, Inovasi dan
Ekonomi (STIE) Malaysia.
“Peranan YSN-ASM, terutamanya dalam melaksanakan projek berorientasikan misi yang melibatkan kemunculan teknologi baharu, seperti teknologi dan sistem pintar, bandar dan pengangkutan, pertanian dan perhutanan, alam sekitar dan biodiversiti, adalah sangat penting. Oleh itu, saintis muda mesti bersedia untuk menghadapi kerumitan, kekacauan dan percanggahan ke arah sains pasca-normal dan tangkas dalam mengadaptasi teknologi baharu muncul ini dan mengintegrasikan pengetahuan
daripada pelbagai bidang,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Chang Lih Kang, semasa ucapannya di Kolokium YSN-ASM 2023.
YSN-ASM yang ditubuhkan pada 12 Disember 2012, berperanan sebagai platform untuk saintis muda menyuarakan pendapat mereka dan menyumbang kepada masyarakat. YSN-ASM terdiri daripada lapan kumpulan kerja: Komunikasi Sains, Pendidikan Sains, Integriti Sains, Kepimpinan Sains, Jangkauan Sains, Dasar & Tadbir Urus Sains, Sinergi Penyelidikan dan Sains@Media. Kolokium YSN-ASM yang dijalankan setiap tahun diteruskan sebagai saluran untuk ahli dan ahli gabungan bertemu, berkenalan, membina rangkaian dan merangka program untuk memajukan STIE negara. Ketika ini, YSN-ASM mempunyai 299 ahli di seluruh negara.
“Untuk mengukuhkan ekosistem STIE negara kita, kita perlu meningkatkan peratusan penyelidik dalam industri, mengambil contoh Thailand dan Singapura, yang mempunyai lebih daripada 50% penyelidik mereka dalam sektor industri. Oleh itu, saya ingin mencabar YSN-ASM untuk bukan sahaja menyumbang secara aktif tetapi juga berkhidmat dalam industri dengan memulakan start-up dan spin-off serta menjadi mentor kepada generasi saintis muda akan datang untuk menjadi penyelidik dalam industri,” tambah YB Chang Lih Kang.
Terdahulu, YB Chang Lih Kang menyertai sesi dialog bersama ahli YSN-ASM. Dalam sesi itu, beliau menjawab pertanyaan tentang STEM, pembiayaan untuk R&D, pengkomersilan penyelidikan, kesan STI masa depan dan kerjasama rentas kementerian.
Dalam majlis yang sama, YB Chang Lih Kang turut menyempurnakan penyampaian anugerah kepada pemenang Anugerah Chrysalis YSN-ASM. Chrysalis ialah program kepimpinan oleh YSN-ASM yang bertujuan untuk mengenal pasti, membangun, mengiktiraf dan memperkasakan pelajar PhD serta memberi inspirasi kepada mereka untuk menyumbang kepada masyarakat.
Sepanjang program, 15 finalis dinilai secara individu berdasarkan demonstrasi pengetahuan, semangat, kepimpinan, kreativiti, kerja berpasukan dan kemahiran persembahan mereka.
Finalis Chrysalis YSN-ASM yang terpilih akan diberi sokongan dan bimbingan berterusan untuk lima tahun akan datang selepas program. Langkah ini memastikan para finalis ini diperkasakan untuk menjadi penyelidik cemerlang yang akan menyumbang kepada ekosistem STIE Malaysia. Calon yang sesuai juga akan disyorkan untuk mengikuti program felo atau latihan amali di institusi dan organisasi bereputasi.
Skip to content