Skip to main content
Berita

Sesi Libat Urus dan Lawatan Kerja MOSTI ke SPRM Putrajaya

7 April 2026, Putrajaya – Unit Integriti, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menganjurkan sesi libat urus dan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM.
Sesi ini telah disertai oleh Pegawai Integriti serta Pegawai Governans daripada MOSTI, termasuk jabatan dan agensi di bawahnya, sebagai usaha berterusan dalam memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus yang baik dalam perkhidmatan awam.
Sepanjang sesi berlangsung, para peserta telah didedahkan kepada:
🔹 Sejarah, peranan dan fungsi utama SPRM, khususnya dalam aspek penguatkuasaan dan pencegahan jenayah rasuah;
🔹 Proses siasatan, tangkapan serta pendakwaan kes rasuah;
🔹 Kaedah pelaporan dan pengurusan aduan rasuah berasaskan konsep 5W1H (siapa, bila, di mana, apa, mengapa dan bagaimana);dan
🔹 Inisiatif potongan cukai di bawah Subseksyen 34(6)(h), Akta Cukai Pendapatan 1967.
Sesi dialog interaktif yang berlangsung turut mengetengahkan perkongsian kes-kes rasuah berprofil tinggi yang mendapat perhatian umum, sekali gus membantu para peserta memahami risiko serta bentuk jenayah rasuah dalam pelbagai sektor. Turut disusuli adalah sesi soal jawab bagi memperjelaskan isu dan kekeliruan yang sering timbul dalam kalangan masyarakat berkaitan rasuah.
Semoga pendedahan ini dapat memperkukuh peranan Pegawai Integriti dan Pegawai Governans dalam membudayakan nilai integriti, seterusnya menyumbang kepada perkhidmatan awam yang lebih telus, beretika dan dipercayai.
Skip to content