Skip to main content
Berita

Sesi Perbincangan dan Libat Urus bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

13 Mac 2024, Negeri Sembilan – MOSTI telah mengambil inisiatif untuk mengadakan sesi perbincangan dan libat urus bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab ke atas Sains Teknologi dan Inovasi (EXCO-STI). Ini adalah susulan kepada perbincangan YB. Tuan Chang Lih Kang, Menteri MOSTI dengan YB EXCO-STI dalam usaha untuk menyusuli isu-isu semasa dan memantapkan lagi pelaksanaan Mesyuarat MEXCO-STI yang dijadualkan pada bulan Jun 2024.

YBhg Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI (Pembangunan Teknologi) telah mengadakan kunjungan hormat kepada YB Tuan Teh Kok Lim, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak pada 8 Mac 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. TKSU(T) MOSTI telah menerangkan bidang fokus MOSTI bagi tahun 2024 yang merangkumi isu-isu seperti Hidrogen, Kecerdasan Buatan, Bioteknologi, Syarikat Perintis dan Teknologi Angkasa. Kedua-dua pihak akan meningkatkan kerjasama dalam melaksanakan projek dan program baru dan sedia ada di Negeri Perak.
YBhg Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Bin Hassan juga telah mengadakan kunjungan hormat kepada YB Dr Haim Hilman Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan, Sains Teknologi dan Inovasi Negeri Kedah pada 10 Mac 2024. Pertemuan ini memberi peluang kepada kedua-kedua pihak untuk membincangkan isu inovasi dalam sektor pertanian dan pertanian pintar termasuk peluang bagi pesawah untuk menggunakan Varieti Padi Baru Tahan Iklim NMR 152 yang dihasilkan oleh Agensi Nuklear Malaysia. Turut dibincangkan adalah penganjuran program-program sains, teknologi dan inovasi di negeri Kedah yang secara langsung akan membantu meningkatkan minat pelajar-pelajar sekolah dalam bidang ini.
Pada 11 Mac 2024, YB Tuan Jagdeep Singh Deo, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pebangunan Modal Insan, Pendidikan Sains dan Teknologi Pulau Pinang telah menerima kunjungan hormat dari YBhg Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Bin Hassan di Bangunan Komtar, Pulau Pinang. Perbincangan memfokus kepada peluang-peluang yang tersedia untuk syarikat perintis melalui Single Window Platform yang akan dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri dalam jangka masa terdekat ini. Isu berkaitan dengan pembangunan bakat juga diberi penekanan memandangkan terdapat banyak syarikat berteknologi tinggi di Pulau Pinang yang memerlukan tenaga kerja yang berasaskan sains dan teknologi. MOSTI sedang dalam proses menangani isu pembangunan bakat STI yang adaptif dengan kerjasama beberapa kementerian yang berkaitan.
Hasil perbincangan dengan Kerajaan Negeri sedang disusuli dan akan diperhalusi dengan lebih mendalam dalam mesyuarat MEXCO akan datang. Beberapa siri taklimat dan libat urus akan diadakan di peringkat negeri bagi memperhalusi isu-isu spesifik yang dibincangkan. Secara keseluruhannya, kesemua kunjungan hormat ini membantu kearah memperkukuhkan jalinan kerjasama antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi.
Skip to content