14 Disember 2024, Kuala Lumpur – Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), agensi fokal bagi ekosistem startup Malaysia yang juga Agensi di bawah MOSTI, telah dinobatkan sebagai Startup Ecosystem Star for 2024 semasa Startup Ecosystems Awards (SES 2024) pada 9 Disember 2024 yang lepas. Anugerah berprestij anjuran International Chamber of Commerce (ICC) dan Mind the Bridge tersebut bertujuan untuk mengiktiraf entiti yang memacu inovasi dan keusahawanan di peringkat global.
Pencapaian Cradle meraih anugerah “Best-in-class Startup Programs” bukan sahaja mengiktiraf prestasi agensi itu tetapi juga meraikan komuniti startup Malaysia dalam usaha sama kolektif untuk berdaya saing di peringkat global. Anugerah ini memberi penekanan terhadap program-program berimpak tinggi yang memupuk pelaburan, membangunkan bakat dan menggalakkan kerjasama industri yang mana menjadi tonggak penting dalam membina ekonomi yang berkembang pesat dan berinovasi.
Norman Matthieu Vanhaecke, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, berkongsi pandangannya tentang pencapaian ini dengan berkata, “Anugerah ini milik semua pihak yang komited terhadap menjayakan keusahawanan Malaysia — Kerajaan, yang dipimpin oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Cradle, rakan korporat termasuk startup itu sendiri. Anugerah ini adalah bukti keupayaan, ketahanan dan kesungguhan usahawan di Malaysia yang terus giat berusaha seterusnya meningkatkan penanda aras inovasi di peringkat global.
Maria Fernanda Garza, Pengerusi Kehormat International Chamber of Commerce (ICC), turut memuji sumbangan Cradle dengan berkata, “Cradle berperanan sebagai teras inovasi dan pertumbuhan dalam ekosistem startup Malaysia. Melalui program pembiayaan dan program pembangunan kapasiti, Cradle telah menjadi pemangkin untuk membimbing startup peringkat awal, menyediakan bukan sahaja sokongan kewangan tetapi juga panduan strategik untuk mengubah idea menjadi usaha niaga yang berimpak.
ICC, sebuah organisasi perniagaan global yang mewakili lebih daripada 45 juta syarikat di 170 negara memainkan peranan penting dalam memajukan perdagangan antarabangsa dan inovasi. Dengan kerjasama organisasi seperti Mind the Bridge, ICC merapatkan jurang antara startup, korporat dan pembuat dasar untuk memacu pembangunan ekosistem di seluruh dunia. Melalui perkongsian ilmu, pembangunan kapasiti dan kerjasama strategik, ICC dan Mind the Bridge membolehkan ekosistem untuk berkembang, memperkasa usahawan dan menggalakkan pertumbuhan yang mampan. Usaha ini penting dalam mewujudkan hab inovasi saling berkait yang mendorong pertumbuhan ekonomi dan menangani cabaran global.
Anugerah SES 2024 telah menobatkan 64 organisasi dari 36 negara termasuk ekosistem terkemuka di Eropah (47%), Asia (28%), Amerika Utara (12%), Afrika (5%), serta negara lain dari Oceania, Timur Tengah, dan Amerika Latin (LATAM). Pencapaian Cradle meletakkan Malaysia antara negara-negara utama ini, setanding dengan ekosistem inovasi terbaik dunia.
Sejak penubuhan pada tahun 2003, Cradle telah membangun lebih 1,100 startup, menyumbang lebih RM1 bilion secara kumulatif kepada impak KDNK. Platform perdananya, MYStartup, telah menghubungkan lebih 4,000 startup berdaftar dan menyokong lebih 17,000 individu serta organisasi sejak 2021. Pencapaian ini mencerminkan dedikasi Cradle dalam membangunkan ekosistem startup yang mampan dan dinamik.Ketika Malaysia berusaha menjadi hab inovasi global, anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan bagi Cradle tetapi juga kejayaan bersama bagi setiap usahawan, pemegang taruh dan organisasi yang bekerja keras untuk mengangkat kedudukan keusahawanan Malaysia di pentas dunia.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ekosistem startup Malaysia, layari www.cradle.com.my dan sertai kami dalam memacu inovasi ke hadapan.