25 September 2026, Kuala Lumpur – Perkhidmatan kesihatan moden kini memerlukan penggabungan antara sains, kepakaran klinikal, dan inovasi teknologi merentas sempadan bagi menangani cabaran perubatan yang semakin kompleks. YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, menegaskan advancement sektor perkhidmatan kesihatan tidak lagi boleh digalas oleh satu pihak atau satu negara sahaja, sebaliknya menuntut kerjasama holistik daripada pelbagai disiplin.
Menerusi ucapan perasmian Kongres 𝑊𝑜𝑟𝑙𝑑 𝑈𝑛𝑖𝑜𝑛 𝑜𝑓 𝑊𝑜𝑢𝑛𝑑 𝐻𝑒𝑎𝑙𝑖𝑛𝑔 𝑆𝑜𝑐𝑖𝑒𝑡𝑖𝑒𝑠 (𝑊𝑈𝑊𝐻𝑆) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini, beliau menekankan pentingnya menterjemahkan hasil penyelidikan makmal kepada penyelesaian nyata yang memberi impak terus kepada kualiti hidup masyarakat dan pertumbuhan ekonomi negara. Kongres bertaraf dunia bertemakan “Anjakan Paradigma Global: Kepakaran dan Pengiktirafan Penjagaan Luka” itu menghimpunkan lebih 5,000 perwakilan serta 414 pakar perubatan dari seluruh dunia.
Menurut YBM, MOSTI terus komited memperkukuh ekosistem Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) dalam bidang kritikal seperti bioteknologi, kecerdasan buatan (AI), kesihatan digital, serta perubatan ketepatan. Beliau turut merujuk inisiatif MyGenom sebagai contoh komitmen kerajaan dalam membina data genomik tempatan bagi menyokong diagnosis dan rawatan yang lebih berkesan.
Penganjuran kongres dwitahunan ini turut menjadi medan strategik buat penyelidik dan institusi tempatan untuk menjalinkan kerjasama antarabangsa, sekali gus mempercepatkan proses komersialisasi teknologi perubatan. Beliau turut memberikan penghargaan setinggi-tingginya kepada Presiden WUWHS, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Harikrishna K.R. Nair, serta rakan penganjur atas kejayaan meletakkan Malaysia di peta kepakaran penjagaan luka dunia.




