Bajet 2018 yang bertemakan “Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi Dan Ukhrawi Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50” adalah belanjawan yang inklusif, lestari dan benar-benar terarah kepada golongan sasaran.
Dalam Petunjang Keenam Bajet 2018, dinyatakan dengan jelas bahawa dunia kini di ambang The Fourth Industrial Revolution (IR 4.0) dan era digital ekonomi. Lantaran itu, bagi menyokong
aktiviti pelaburan dan perniagaan IR 4.0, sejumlah 245 juta ringgit diperuntukkan di bawah Dana Strategik Pelaburan Domestik bagi menaik taraf kemudahan Smart Manufacturing.
Sebagai sebuah kementerian yang menerajui agenda sains, teknologi dan inovasi negara, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersedia untuk memacu pertumbuhan inovasi dan teknologi termaju industri tempatan dalam mempersiapkan industri menghadapi cabaran Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) dan Ekonomi Digital.