Skip to main content
Minggu Sains Negara

Minggu Sains Negara 2019

By 2019-03-26Februari 11th, 2021No Comments

Penganjuran Minggu Sains Negara 2019

Dengan tema “Sains untuk Kesejahteraan”, Minggu Sains Negara dianjurkan sekali lagi di seluruh negara pada tahun ini. Memasuki tahun kedua penganjurannya, Minggu Sains Negara 2019 menampilkan sedikit perbezaan berbanding penganjuran tahun sebelumnya yang mana pada tahun ini, Minggu Sains Negara dilaksanakan secara berfasa. Penganjuran Minggu Sains Negara 2019 secara berfasa adalah bagi memastikan inisiatif untuk menyemarakkan gerakan sains kebangsaan ini dilaksanakan secara lebih berfokus, berkesinambungan dan menyeluruh agar manfaatnya dapat dinikmati oleh lebih ramai rakyat Malaysia.

Fasa I : berlangsung pada 1 hingga 7 April 2019 melibatkan lima buah negeri iaitu Kuala Lumpur, Terengganu, Kedah, Sabah dan Sarawak

Lokasi MScN 27032019 1

Minggu Sains Negara 2019 Fasa I telah berjaya dianjurkan di semua lokasi di kelima-lima buah negeri sebagaimana yang telah dirancang. Minggu Sains Negara 2019 telah dirasmikan oleh YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri pada 2 April 2019 di Pusat Sains Negara. Penganjuran Fasa 1 ini telah sambutan yang meriah yang mana jumlah keseluruhan pengunjung yang dicatat bagi Fasa 1 di lima buah negeri adalah sebanyak 201,311 jumlah engagements.

Fasa II : berlangsung pada 2 hingga 8 Ogos 2019 melibatkan 10 buah negeri iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang.

Minggu Sains Negara 2019 Fasa 2 dilaksanakan pada bulan Ogos 2019 di 10 buah negeri iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang. Pelbagai program telah dirancang untuk dilaksanakan di negeri-negeri yang terlibat yang mana program-program sambutan Fasa 2 ini akan juga memfokuskan pada:

  1. Kempen Hindari Penggunaan Plastik Sekali Guna
  2. Kempen kesedaran berkaitan penjagaan alam sekitar

Minggu Sains Negara Fasa II telah melabuhkan tirainya pada 25 Ogos 2019 dengan berakhirnya sambutan di Negeri Perak dan Pulau Pinang. Bagi mendapatkan rangkuman ringkas berhubung aktiviti-aktiviti Minggu Sains Negara Fasa II yang telah dilaksanakan di 10 buah negeri, sila layari di sini.

Tema “Sains untuk Kesejahteraan

Tema “Sains Untuk Kesejahteraan” adalah signifikan dengan kehidupan seharian manusia kerana sains dan teknologi memberi kesan yang besar terhadap kelestarian alam sekitar dan masyarakat. Memandangkan pembangunan teknologi diperlukan untuk pembangunan negara, adalah sangat penting untuk menyepadukan ilmu sains dan teknologi dengan sains sosial dalam membincangkan isu berkaitan teknologi dan kesannya terhadap kelestarian persekitaran dan masyarakat. Kadar perkembangan teknologi yang pesat memerlukan pertimbangan yang teliti dan bermakna ke arah teknologi yang mencerminkan perkongsian nilai masyarakat dan persekitaran.

Revolusi Industri 4.0 meletakkan cabaran yang hebat kepada semua sektor di negara ini yang memerlukan kita melakukan perubahan seiring dengan transformasi digital tersebut untuk kekal berdaya saing sama ada di dalam atau di luar negara. Cabaran 4.0 menuntut pembaharuan atau penemuan pelbagai teknologi dalam bidang seperti robotik automasi, penjanaan kuasa elektrik, kecerdasan buatan (artificial intelligence), reality maya (virtual reality) dan realiti terimbuh (augmented reality), lantas mengekalkan kelangsungan hidup dan menyemarakkan keamanan dan kesejahteraan rakyat. Sains dan teknologi memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seharian kerana setiap pergerakan yang dilakukan boleh diterjemahkan dalam konteks sains dan teknologi.

Selain itu, penggunaan dan penyebarluasan sumber sains mampu membentuk semula masa depan ke arah pembangunan ekonomi yang mampan selari dengan kelestarian alam sekitar, kesejahteraan rakyat dan keselamatan sejagat. Penghasilan produk dan peralatan melalui teknologi hijau dapat menjimatkan sumber asli serta menggalakkan sumber yang boleh diperbaharui.

Aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga perlu mengambil kira kelestarian alam sekitar dan menangani kesan perubahan iklim. Keseimbangan antara pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan adalah penting dalam meningkatkan ekonomi negara. Penggunaan sumber juga hendaklah dilaksanakan dengan lebih bertanggungjawab. Kesan negatif alam sekitar termasuk kekurangan sumber dan bencana alam dapat dielakkan dengan menggalakkan industri menggunakan teknologi yang rendah karbon dan mesra alam.

Pertandingan Video Pendek / Laporan Aktiviti Minggu Sains Negara Peringkat Sekolah

Sejajar dengan aspirasi Minggu Sains Negara 2019 bagi meningkatkan penglibatan rakyat khususnya pelajar-pelajar sekolah dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI), program dan aktiviti berteraskan STI, MOSTI akan mengadakan Pertandingan Video Pendek dan Laporan Aktiviti Minggu Sains Negara Peringkat Sekolah dengan tema “Sains untuk Kesejahteraan”.

Skip to content