Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia atau MASTIC telah ditubuhkan pada tahun 1992 yang bertanggungjawab sebagai pusat pengumpulan dan penyebaran maklumat strategik Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) negara. MASTIC juga menyediakan capaian terhadap maklumat STI daripada pelbagai institusi dan bertindak sebagai mekanisme penghubung di antara penggubal dasar, penyumbang dana, penyelidik/pembangun, industri dan pengguna. Perkhidmatan utama kami adalah mengumpul dan menyebarkan maklumat strategik berkaitan aktiviti STI negara.

MASTIC akan bertindak sebagai pusat pengumpulan dan penyebaran maklumat strategik STI negara bagi menyokong keperluan komuniti STI melalui pengurusan pengetahuan yang berkualiti.
MASTIC juga menyediakan kemudahan aliran dan capaian maklumat STI di antara sektor kerajaan dan sektor swasta bagi menyokong dasar negara dalam pembangunan STI.

Aktiviti teras kami adalah mengumpul dan menyebarkan maklumat strategik yang berkaitan dengan aktiviti S&T. Fungsi utama kami adalah:

menjadi pusat rujukan utama bagi maklumat STI negara;
mengumpulkan maklumat STI dan aktiviti P&P melalui kajian-kajian bagi tujuan perbandingan dan penandarasan;
meramalkan trend bidang STI negara bagi membantu penggubal dasar mengenal pasti bidang keutamaan dalam pembangunan STI;
membangunkan dan mengemas kini kandungan maklumat pangkalan data STI;
menyampaikan dan mempromosikan maklumat STI melalui media bercetak (penerbitan) atau tidak bercetak (atas talian dan media elektronik); dan
menyediakan perkhidmatan perpustakaan kepada pengguna MOSTI.

Kami komited untuk:

menyediakan maklumat strategik bagi memenuhi keperluan pelanggan dan sentiasa menambah baik perkhidmatan maklumat sedia ada;
menyediakan maklumat STI yang terkini dan berwibawa melalui portal MASTIC;
mengesahkan penerimaan permohonan maklumat, cadangan dan aduan pelanggan dalam tempoh 24 jam pada hari bekerja; dan
memberikan maklum balas kepada permohonan maklumat dan aduan dalam tempoh 7 hari bekerja.