Unit Integriti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mula beroperasi pada tahun 2014 selaras dengan arahan di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2013. Unit Integriti MOSTI bertanggungjawab dalam memastikan penjawat awam mengamalkan budaya kerja unggul dengan ciri-ciri moral dan etika yang kukuh serta meningkatkan semangat patriotisme di kalangan mereka.
Inisiatif penubuhan unit integriti ini juga merupakan salah satu dari usaha kawalan dalaman bagi menguruskan integriti organisasi dan membendung salahlaku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan/ etika organisasi di kalangan penjawat awam. Inisiatif penubuhan unit ini adalah bertepatan dengan aspirasi Kerajaan dalam pengukuhan integriti dalam melahirkan sistem penyampaian awam yang lebih cemerlang dan berakauntabiliti serta peningkatan kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan.
Penubuhan Unit Integriti di peringkat Kementerian adalah berdasarkan penarafan risiko model sederhana yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan dengan perakuan dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Waran Penjawatan Bil. K127 Tahun 2013. Perjawatan unit ini di peringkat kementerian adalah terdiri daripada empat (4) orang iaitu diketuai oleh Pegawai Tadbir dan Diplomatik Gred M48. Perjawatan Unit Integriti adalah ditetapkan memerlukan kelayakan Pegawai Integriti Bertauliah (Certified Integrity Officer/ CeIO) atau lain-lain kelayakan sepertimana diiktiraf oleh Lembaga Pertauliahan Pegawai Integriti yang diurusetiakan oleh SPRM. Seterusnya, satu (1) perjawatan Pegawai Siasatan Gred P43/44, satu (1) perjawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik Gred M41 dan satu(1) perjawatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/ Operasi) Gred N17/ N22(KUP).