Skip to main content
Berita

Bio-Borneo 2012 Menggerakkan Strategi Bioekonomi

By 2012-02-25Disember 14th, 2020No Comments

 

KUCHING (25 Februari 2012) – BIO-BORNEO 2012 pada hari ini telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak, YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud di Pullman Hotel, Kuching, Sarawak. Turut hadir ialah YB Datuk Haji Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Program Bio-Borneo 2012 yang berlangsung mulai 24 sehinga 26 Februari 2012 dianjurkan secara bersama oleh Kementerian sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan Sarawak Biodiversity Centre (SBC) serta sokongan daripada pelbagai  Jabatan/institusi seperti Pejabat Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Pendidikan Daerah Kuching, Unimas, UiTM, Sarawak,  BiotechCorp, Institut Genom Malaysia (MGI) dan Malaysian Biotechnology Information Centre (MABIC) dan lain-lain.

Bio-Borneo 2012 adalah sebahagian daripada program sempena Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012 yang bertemakan “Sains dan Inovasi Pemacu inovasi” dan kesinambungan daripada program yang telah diterajui oleh MOSTI: Malaysia Inovatif 2010, dan Program Pengalakkan Sains dan Matematik 2011. Bio-Borneo 2012 sebagai program pengisian yang membuktikan komitmen Kerajaan dalam melaksanakan transformasi ekonomi menerusi sains teknologi dan inovasi.

Dengan tema “Memacu Inovasi Bioekonomi Borneo”, program ini dirangka dengan objektif mewujudkan platform perkongsian pengetahuan dan membuka peluang aplikasi hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D), dan inovasi tambah nilai khususnya dalam industri berkaitan bioteknologi.  Bio-Borneo 2012 merupakan pemangkin dalam usaha Kerajaan memacu agenda transformasi ke arah pertumbuhan ekonomi dan melonjakkan kedudukan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi, terangkum dan lestari. Kearah ini BioBorneo 2012 akan memperkenalkan Inisiatif Bioekonomi Malaysia yang telah dilancarkan Oleh YAB Perdana Menteri Malaysia November 2011 lalu. Disamping itu Bio-Borneo 2012 juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat awam mengenai bidang bioteknologi

Bio-Borneo 2012 yang julung kali diadakan di Kuching, Sarawak ini mencerminkan kesungguhan kerajaan terhadap inisiatif bioekonomi fokus untuk menggerakkan agenda inovasi bioteknologi di rantau Borneo. Aktiviti Bio-Borneo 2012 melibatkan Seminar Bioteknologi, Ekspo Bio-industri dan Business Matching, serta Pameran Industri dan Penyelidikan Bioteknologi dirangka khusus bersesuaian dengan keperluan dan kepentingan ekonomi industri Bioteknologi Borneo.  Bio-Borneo 2012 yang berlangsung selama tiga hari ini dijangka menarik lebih tiga ribu pelawat dari kalangan industri biotek, usahawan, penyelidik, pelajar dan masyarakat awam.

Melalui seminar yang berlangsung pada hari pertama dan kedua Bio-Borneo 2012 (24-25 Februari 2012), peserta berpeluang mengetahui hala tuju industri bioteknologi Bioekonomi dan industri Bioteknologi melalui ucaptama oleh Senator Dato’ Sri Idris Jala, Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) dan Prof Emeritus Dato’ Dr Zakri Hamid, Penasihat Sains kepada Pejabat Perdana mengenai prospek biofuel from algae dan beberapa pakar terkemuka lain dalam industri Bioteknologi termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Biotechnology Corporation Dato Dr Nazlee Kamal.

Ekspo Bio-industri dan Business Matching, serta Pameran Industri dan Penyelidikan Bioteknologi di Bio-Borneo 2012 menampilkan 40 buah gerai yang mempamerkan pameran pelbagai produk dan hasil penyelidikan dan pembangunan dalam bidang Bioteknologi oleh institusi kerajaan dan swasta.  Pengunjung pameran berpeluang mengetahui perkembangan teknologi dan penyelidikan terbaru dalam industri Bioteknologi dan Bioalgae.

Bio-Borneo 2011 turut mengadakan aktiviti bagi memupuk kesedaran sains dan teknologi melalui penganjuran program interaktif sekolah MyBio@School di Pullman Hotel, dan MyBio Carnival yang berlangsung serentak di Hills Shopping Center. Orang awam khususnya para pelajar berpeluang mendekati dan mendalami persekitaran bioteknologi melalui penyertaan dalam pelbagai aktiviti dan program yang disediakan serta mendapat pengetahuan daripada pameran dan penerangan  kerjaya dalam bidang Bioteknologi.

Skip to content