Skip to main content
Berita

Perhimpunan Bulanan MOSTI bersama YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi

Cyberjaya, 17 September 2020 – Perhimpunan Bulanan MOSTI bersama YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bagi bulan September telah berlangsung dalam norma baharu pada hari ini di Auditorium MaGIC, Cyberjaya.
YB Menteri terlebih dahulu merakamkan ucapan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat Malaysia. Menurutnya, walaupun pada kali ini ianya disambut dalam suasana berbeza dari tahun-tahun sebelumnya, namun semangat patriotik dan kebangsaan perlu sentiasa disemarakkan.
YB Khairy turut menekankan mengenai kepentingan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) terutamanya dalam menghadapi situasi pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia pada masa ini. Menerusi Sains, kita dapat mengawal penularan COVID-19 dengan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian. MOSTI melalui program Kembara STIE terus komited untuk membudayakan STI serta menarik minat golongan belia, orang awam dan pelajar dalam bidang berkaitan STI.
Selain daripada itu, YB Khairy juga berkongsi budaya kerja yang perlu diterapkan oleh seluruh warga MOSTI. Selain daripada 8F yang telah dikongsi dalam Majlis Amanat yang lepas, F yang tidak kurang pentingnya adalah Fleksibel yang mana kita perlu sentiasa bersedia dalam menghadapi apa jua perubahan atau halangan yang mungkin timbul dalam setiap perancangan yang telah dilakukan.
Pada majlis kali ini, turut disampaikan adalah Anugerah Pekerja Produktif yang diterima oleh Puan Siti Zuhaini binti Abd Samah dari Pusat Nanoteknologi Kebangsaan dan Encik Hamdi bin Abd Hamid dari Bahagian Perkhidmatan STI dan Pembudayaan, manakala Anugerah Pekerja Sihat, Ceria, Sejahtera pula diterima oleh Encik Kamarul Ariffin bin Mohamad dari Bahagian Perancangan Strategik dan Puan Arlina binti Abdul Wahab dari Bahagian Kewangan.
Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini, MOSTI telah mengadakan lima pertandingan dalam kalangan warga MOSTI bagi menyemarakkan semangat patriotik dan rasa cinta pada negara. Pertandingan tersebut adalah MOSTI Merdeka Virtual Run, Pertandingan Fotografi MOSTI bertemakan “Malaysia Prihatin”, Pertandingan Sayembara Patriotik, Pertandingan Nyanyian Lagu Kemerdekaan dan Pertandingan Penghayatan Kemerdekaan Melalui Hiasan Pejabat. Penyampaian hadiah disempurnakan oleh YB Khairy dan YBhg. Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah binti Tapsir, Ketua Setiausaha MOSTI.
Seiring dengan norma baharu dalam tempoh PKPP ini, keterlibatan kakitangan dalam perhimpunan ini dihadkan bagi memastikan SOP dapat dipatuhi. Walau bagaimanapun, seluruh warga juga mengikuti sesi live streaming di tempat masing-masing melalui FB rasmi kementerian.
Skip to content