Skip to main content
Berita

MOSTI Meneraju Pengkomersilan Produk R&D Negara

By 2014-08-13Disember 14th, 2020No Comments

UKK_6246

 

Shah Alam, 13 Ogos 2014 – Tahun Pengkomersilan MOSTI (MCY2014) yang dilancarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada Januari 2014 meneruskan momentumnya  dengan pelaksanaan Persidangan dan Pameran Pengkomersilan MOSTI 2014 (MCCE 2014) yang dirasmikan oleh YB Datuk Dr. Ewon Ebin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada hari ini bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam.

MCCE 2014 yang berlangsung daripada 13 hingga 15 Ogos 2014, julung-julung kalinya diadakan bagi mengetengahkan peranan MOSTI sebagai peneraju pengkomersilan produk R&D serta memberi platform kepada usahawan meningkatkan kadar pengkomersilan dan pasaran produk R&D, menggiatkan pengkomersilan produk dan perkhidmatan yang dihasilkan para penyelidik dan penciptaan inovasi yang terdiri daripada penerima dana MOSTI dan agensi di bawahnya, menilai keupayaan produk R&D dalam pasaran dan merakyatkan penggunaan produk R&D.

“MCCE 2014 membuktikan komitmen berterusan pihak Kerajaan dan khususnya MOSTI dalam usaha ke arah penjanaan ekonomi di bidang penyelidikan yang berteraskan sains, teknologi dan inovasi (STI) selari dengan wawasan Negara,” kata YB Datuk Dr. Ewon Ebin semasa Majlis Perasmian MCCE 2014.

Tambah beliau lagi, MOSTI juga amat berbangga dengan produk-produk yang dihasilkan kerana berupaya memenuhi keperluan pengguna sama ada di peringkat akar umbi sehingga kepada keperluan industri.  Sebahagian besar daripada produk-produk ini telah pun menerima permintaan daripada industri dan berada di pasaran serta terdapat juga produk-produk yang turut berpotensi untuk memperluaskan pasaran ke pasaran luar negara.

Bersempena Majlis Perasmian MCCE 2014, sejumlah 18 produk lagi akan dilancarkan, terdiri daripada pelbagai kategori seperti Teknologi Maklumat dan Perisian, Pertanian, Kimia, Kejuruteraan, Bioteknologi, Perubatan dan Kesihatan dan Alam Sekitar.

Sehingga Julai 2014, sebanyak 40 produk R&D yang dibiayai melalui pendanaan MOSTI dan agensi di bawahnya telah berjaya dikomersilkan. Ini menghampiri sasaran MCY 2014 untuk mengkomersilkan sekurang-kurangnya 60 produk R&D bagi tahun 2014 sahaja dan 360 produk bagi RMKe-10.

YB Menteri turut melancarkan Direktori Produk dan Perkhidmatan Penyelidikan, Pembangunan dan Pengkomersilan (R,D&C) Edisi Khas yang mengandungi senarai produk-produk R&D.  Direktori tersebut akan menerima maklum balas positif daripada pihak industri dan dijadikan rujukan untuk perhubungan dan rangkaian yang lebih erat di antara penyelidik dan industri.

MCCE 2014 yang menyasarkan penyertaan daripada pelbagai sektor dan lapisan masyarakat seperti sektor industri, sektor awam, penerima-penerima dana MOSTI, penyelidik, pelajar –pelajar IPT, merupakan penanda aras bagi pelaksanaan MCY2014 dan mengukur kesediaan MOSTI untuk menerajui Malaysian Commercialization Year pada tahun 2015 atau 2016 yang akan ditentukan kelak.

Pengisian sepanjang 3 hari program adalah terbahagi kepada 3 komponen utama iaitu Persidangan Pengkomersilan dan Inovasi, Pameran dan Penjualan Produk R&D dan Pertandingan  Inovasi dan Kreativiti.

Seramai 17 tokoh usahawan dan industri seperti Tan Sri Rafidah Aziz, YBhg. Datuk Wira Dr. Haji Ameer Ali bin Mydin, Irfan Khairil, Norman Abdul Halim dan lain-lain yang berkongsi tips kejayaan hasil inovasi dan kreativiti dalam bidang masing-masing sepanjang program berlangsung (13 Ogos hingga 15 Ogos 2014). Selain itu, terdapat 75 pempamer yang mengambil bahagian juga booth khas menyediakan khidmat nasihat ke atas tatacara permohonan dana serta penerangan mengenai bantuan yang disediakan oleh MOSTI dan jabatan/agensi di bawahnya.

Turut hadir di majlis perasmian  ini adalah YBhg. Dato’ Sri Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur, Ketua Setiausaha Kementerian, Sains, Teknologi dan Inovasi,   Ketua-ketua Jabatan/Agensi kerajaan, pelajar-pelajar IPT dan peserta-peserta Seminar Inovasi.

Skip to content