Skip to main content
Berita

Bengkel Jawatankuasa (JK) Kerja Bagi Mengkaji Ketersediaan Negara Menyertai Triti Angkasa

20 Februari 2024, Negeri Sembilan – MOSTI melalui Bahagian Penguasa Angkasa (BPAngkasa) telah menganjurkan Bengkel Jawatankuasa (JK) Kerja Bagi Mengkaji Ketersediaan Negara Menyertai Triti Angkasa selama dua (2) hari iaitu pada 19 dan 20 Februari 2024 yang bertempat di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Fokus utama bengkel ini adalah untuk melihat ketersediaan Malaysia untuk menyertai (accede) kesemua atau mana-mana triti angkasa dan seterusnya memuktamadkan pilihan tersebut. Bengkel ini telah disertai oleh Ahli Jawatankuasa (JK) Kerja Triti Angkasa yang terdiri dari bahagian-bahagian di MOSTI, Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Majlis Keselamatan Negara (MKN), agensi kerajaan dan akademia.
YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI, merangkap Pengerusi Lembaga Angkasa Malaysia telah merasmikan bengkel ini dan menyampaikan amanatnya agar bengkel ini dapat menghimpunkan input yang signifikan kepada syor mengkaji ketersediaan Negara menyertai Triti Angkasa ini.
Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terlibat, terutamanya Bahagian Penguasa Angkasa MOSTI sebagai pihak penganjur dan Ahli JK Kerja Triti Angkasa yang telah memberikan komitmen tinggi dalam penglibatan ke atas semua inisiatif yang dirancang. MOSTI berharap agar semua pihak dapat mengekalkan kerjasama erat ini agar hasrat Malaysia dalam penerokaan potensi industri angkasa Negara dilaksanakan mengikut peraturan atau undang-undang antarabangsa yang di gariskan dengan mendokong prinsip keselamatan dan kesejahteraan manusia sejagat.
Untuk makluman, Malaysia telah menandatangani dua (2) daripada lima (5) triti angkasa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) namun belum menyertai (accede) mana-mana triti tersebut. Triti angkasa PBB ini adalah simbolik penegasan terhadap penggunaan ruang angkasa secara selamat dan aman oleh semua pihak.
Pewartaan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834] pada 25 Januari 2022 amat signifikan bagi Malaysia mempunyai struktur perundangan angkasa domestik yang kukuh dan meyakinkan untuk pihak kerajaan menyertai triti angkasa tersebut selaras kepentingan semasa negara. Penyertaan ini penting dalam menunjukkan kesungguhan negara dalam mematuhi perundangan serta peraturan angkasa dan secara tidak langsungnya mampu memajukan serta melonjakkan sektor angkasa negara melalui kolaborasi dan kerjasama antarbangsa.
Skip to content