Skip to main content
Berita

Kunjungan Hormat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Perak ke Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT)

22 Februari 2024, Selangor – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengadakan satu sesi perkongsian teknologi kepada delegasi pihak berkuasa tempatan (PBT) Perak yang diketuai oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Sandrea Ng Shy Ching, di MIGHT Cyberjaya.
Dalam sesi tersebut, beberapa syarikat teknologi tempatan di bawah ekosistem MOSTI telah dipilih untuk berkongsi mengenai teknologi dan inovasi mereka bagi menyelesaikan permasalahan setempat yang dihadapi di peringkat Negeri seperti isu pengurusan sisa pepejal dan perkhidmatan PBT yang sering berlaku di beberapa tempat.
Di samping menawarkan teknologi tempatan bagi menangani cabaran setempat, usaha ini juga membuka peluang kepada syarikat teknologi dan inovasi tempatan untuk mempromosikan dan mengkomersialkan perkhidmatan mereka di peringkat agensi kerajaan.
Inisiatif ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam menaik taraf tahap penyampaian perkhidmatan awam bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan rakyat. Justeru, MOSTI yakin usaha berterusan perlu dilakukan bagi meningkatkan tahap penerimagunaan teknologi (technology adoption) di peringkat PBT supaya kualiti penyampaian sentiasa di tahap terbaik dari semasa ke semasa.
Sesi perkongsian pada hari ini merupakan satu langkah permulaan dalam usaha menjalin kerjasama yang lebih erat dengan pihak PBT. MOSTI seterusnya akan menjemput PBT dari negeri-negeri lain dari seluruh negara untuk turut terlibat alam sesi perkongsian teknologi ini.
MOSTI mensasarkan sebanyak 20 teknologi tempatan dapat dikomersialkan dan digunapakai di peringkat PBT menjelang tahun 2025, seterusnya menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan awam yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat.
Terlebih dahulu satu kunjungan homat kepada YB Menteri telah diadakan di MOSTI. Hadir sama YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI dan YBhg. Datuk Tr. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi).
Skip to content