Skip to main content
Berita

Buku Modul Komunikasi Sains YSN-ASM Rujukan Bagi Komunikasi Sains Lebih Berkesan Kepada Generasi Muda

26 April 2022, Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini melancarkan Buku Modul Komunikasi Sains YSN-ASM sebagai rujukan dalam menyampaikan komunikasi sains yang mudah difahami sekali gus bakal menarik minat generasi muda dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Buku yang seumpamanya diterbitkan di Malaysia ini, akan memberi kemudahan rujukan kepada para saintis, penyelidik, guru, malahan pengamal media dalam menyampaikan maklumat mengenai sains kepada kumpulan sasar masing-masing dengan gaya bahasa yang lebih santai dan mudah difahami.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba berkata, “Kebiasaannya, para saintis akan menggunakan istilah sains yang teknikal, kompleks dan sukar difahami. Melalui buku ini, mereka dapat memperoleh tips untuk mengetahui langkah-langkah serta pendekatan komunikasi sains dengan cara yang lebih menarik dan mudah difahami orang ramai terutamanya generasi muda. Ini sekali gus menyokong aspirasi MOSTI dalam Merakyatkan Sains dan Menginsankan Teknologi.”

YAB Perdana Menteri pada mesyuarat Majlis Sains Negara 8 April lalu memaklumkan, ketika ini hanya terdapat 47 peratus jumlah pelajar dalam bidang STEM dan hanya 19 peratus pelajar dalam sains tulen.

Buku Modul Komunikasi Sains YSN-ASM ini akan dikongsikan bersama rakan-rakan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) di ASEAN dan MOSTI turut mengalu-alukan masyarakat antarabangsa untuk menggunakan buku ini agar penyampaian ilmu sains dapat dinaratifkan dengan lebih kreatif, efisien dan efektif bagi semua peringkat umur.

Penerbitan Buku Modul Komunikasi Sains YSN-ASM ini telah dijayakan oleh penulis-penulis daripada Young Scientists Network-Akademi Sains Malaysia (YSN-ASM) antaranya Prof V. Abhimanyu dan Dr Siti Khayriyyah Mohd Hanafiah yang merupakan dua orang alumni YSN-ASM yang muncul sebagai Saintis Komunikasi Terbaik Dunia di pertandingan Fame Lab 2016 & 2018. Penulis lain yang turut terlibat sama adalah Chm. Dr. Fatimah Salim, Ts. Dr. S. Margaret, Dr. Murni Wan Mohd Nor, Profesor Madya Chm. Dr. Mohd Bakri Bakar, Professor Ir. Rodiadee Nordin, Danial Abdul Rahman dan Wan Abdul Matiin Wan Abdul Rahim Kamil.

Pra-tempahan buku ini boleh didapati di laman web www.akademisains.gov.my/science-communication.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Dr Adham juga berkata sesi libat urus yang dilaksanakan secara tertutup bersama saintis muda YSN-ASM sebelum majlis pelancaran buku itu telah membincangkan pelbagai perkara antaranya usaha supaya penyelidikan dan pembangunan (R&D) mereka boleh lebih diyakini serta terpakai ke peringkat antarabangsa. Selain itu, isu lain adalah penerimagunaan teknologi yang perlu digunakan seawal mungkin bagi memastikan pembangunan eksperimen boleh diperkasakan dan dipertingkatkan.

 

 

Skip to content