Skip to main content
Berita

Kerajaan Persekutuan Dan Negeri Mengukuhkan Kerjasama Sains, Teknologi Dan Inovasi Negara

By 2021-11-17November 22nd, 2021No Comments
17 November 2021, Kuala Lumpur – YB Dato’ Sri Dr Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) malam tadi mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab ke atas sains, teknologi dan inovasi (MEXCO-STI) secara hybrid di Kuala Lumpur.
Ini merupakan mesyuarat pertama yang diadakan pada tahun ini, setelah beberapa kali tertangguh berikutan pandemik COVID-19. Mesyuarat ini turut dihadiri YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim, Timbalan Menteri MOSTI; YBhg. Datuk Zainal Abidin Abu Hassan, Ketua Setiausaha MOSTI serta ahli-ahli majlis kerajaan negeri yang terlibat secara langsung dengan STI.
MEXCO-STI bermatlamat untuk menyelaras pelaksanaan dasar berkaitan STI, pelaksanaan program serta mewujudkan perkongsian pintar untuk memperkukuhkan kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri.
YB Dato’ Sri Dr. Adham berkata, “STI dikenal pasti kerajaan sebagai salah satu tumpuan pembaharuan yang mendorong pemulihan sosio-ekonomi negara pasca COVID-19. STI turut menjadi asas penggerak ke arah negara berteknologi tinggi menjelang 2030. Maka adalah penting STI diperkukuh dan diarus perdanakan merentasi sektor dan peringkat dalam agenda pembangunan negara. Saya yakin kesemua strategi tumpuan akan berjaya dicapai menerusi kerjasama erat antara MOSTI dan kerajaan negeri.”
Pada mesyuarat MEXCO-STI hari ini, ahli-ahli telah diberi penerangan berkenaan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 serta Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (10-10 MySTIE) yang bergerak seiring untuk meluaskan pemerkasaan dan pengaplikasian teknologi bagi menyokong transformasi negara daripada pengguna teknologi kepada pencipta teknologi.
Melalui 10-10 MySTIE, penjanaan teknologi di negeri-negeri juga telah dikenal pasti dengan mengambil kira faktor-faktor sumber asli dan juga parameter lain yang boleh memangkinkan industri di Malaysia. Secara tidak langsung, keluaran dalam negara kasar (KDNK) dapat ditingkatkan melalui perkembangan perniagaan, penjanaan pekerjaan serta hasil pengkomersialan.
Seterusnya, ahli-ahli turut membincangkan mengenai kertas terma rujukan MEXCO-STI yang bertujuan menyelaras dasar berkaitan STI melibatkan kerajaan persekutuan dan negeri telah diadakan. Selain itu, terdapat pembentangan kertas makluman berkenaan penggunaan teknologi hidrogen oleh kerajaan negeri Sarawak dan inisiatif memperkasa inovasi sosial melalui Projek Ruang Reka STIE @ Komuniti yang dijayakan oleh agensi MOSTI, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).
Untuk makluman, Projek Inovasi Sosial Galah Tuis dalam menangani kerumitan pembalutan buah mangga oleh sekumpulan penyelidik dari UiTM Arau yang dibiayai YIM telah baru-baru ini dinobatkan antara 10 inovasi terbaik dunia dalam The Global Honey Bee Network Creativity and Inclusive Innovation Awards 2020.